Skip to main content

Malaysia

Selepas 8 jam, Rafizi ‘keluar’ dari SPRM

Putrajaya , 4 Mei 2026. Bekas Menteri Ekonomi , Rafizi Ramli hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes alah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM 1.1 billion melibatkan perjanjian kerjasama stratergik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Syarikat ARM Limited dari United Kingdom.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Rafizi memaklumkan beliau perlu hadir semula ke SPRM pada pukul 10 pagi esok bagi menyambung sesi soal siasat. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih lapan jam sesi soal siasat di ibu pejabat suruhanjaya  itu, pada Isnin.

Beliau yang tiba seawal kira-kira pukul 9.30 pagi memaklumkan sesi soal siasat bermula sekitar 10 pagi dan berakhir kira-kira 6.40 petang.

Advertisement

Difahamkan, keterangan Ahli Parlimen Pandan itu diambil  berhubung siasatan melibatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor dari United Kingdom, Arm Holdings Inc.

Menurut Rafizi, proses berkenaan berjalan lancar meskipun mengambil masa panjang, selain menegaskan beliau memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

“Proses berjalan lancar, cuma panjang kerana banyak soalan dikemukakan dari pagi hingga petang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di sini, pada Isnin.

Selain itu, Rafizi turut memaklumkan beliau perlu hadir semula ke SPRM pada pukul 10 pagi esok bagi menyambung sesi soal siasat.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan akan dipanggil lagi untuk beberapa hari berikutnya, bergantung kepada keperluan siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses berkenaan turut melibatkan waktu rehat singkat termasuk untuk solat dan makan tengah hari.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai skop atau sudut siasatan yang sedang dijalankan.

Kes membabitkan Rafizi disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.

 

Must Watch Video