KUALA LUMPUR: Tahun lepas, isu Hartal Doktor Kontrak dibangkitkan dan antara tuntutannya, mendesak kerajaan mengambil mereka sebagai pekerja tetap, bukan lagi berstatus kontrak.

Beberapa kali juga dibincangkan malah diangkat ke Parlimen namun sudah masuk ke tahun baharu, isu tersebut masih belum selesai.

Tahun ini, isu serupa dibangkitkan namun kali ini membabitkan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) pula dan tuntutan mereka juga sama, mahukan jawatan tetap.

BACA: Parlimen: 1,497 doktor letak jawatan sejak 2017, 514 pada 2021

BACA: Doktor Kontrak: Senada dengan Anwar, KJ komited selesaikan 'masalah legasi'

Berdasarkan rekod setakat tahun 2020 daripada Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), negara mempunyai seramai 22,257 orang PPP yang masih bertugas.

Dari segi nisbahnya, seorang PPP adalah untuk 1,467 rakyat namun berdasarkan populasi rakyat Malaysia yang semakin bertambah, angkanya pada 2021 dan 2022 pastinya berubah.

Nisbah itu jelas menunjukkan masih ramai PPP diperlukan di Malaysia dan sekiranya ribuan daripada mereka berhenti, sudah pasti ia menyukarkan sistem kesihatan negara.

[INFOGRAFIK] Kronologi lantikan pegawai perubatan kontrak

Justeru, tarikh 2 Februari 2022 dipilih dan pada tarikh itu juga, #suarapppkontrak dan #kamimahutetap tular di media sosial.

Cara mereka sedikit berbeza berbanding Hartal Doktor Kontrak apabila mereka memilih media sosial sebagai platform untuk menyuarakan hak mereka.

Menelusuri satu-persatu status dimuat naik di bawah tanda pagar itu, hasrat mereka tidaklah begitu sukar untuk difahami, semuanya dipaparkan sejelas yang mungkin.

“Kami mahu tetap”, “Kami mahu terus berkhidmat”, “Mereka juga berhak untuk lantikan tetap”, itulah antara yang terpampang dalam hampir setiap status dimuat naik PPP kontrak.


Pastinya, suara-suara itu juga sudah dibawa berulang kali sebelum ini namun, sama juga seperti Hartal Doktor Kontrak, suara mereka tidak didengari.

Natijahnya, mereka membawa suara mereka ke luar, mewujudkan gerakan sebegitu bagi membuka mata bahkan mungkin juga hati pihak yang bertanggungjawab.

Isu ini pasti akan dibincangkan lebih serius selepas ini dan sama seperti doktor kontrak, PPP kontrak berharap isu tersebut tidak hanya dikaji, diteliti dan diperhalusi sebaliknya diselesaikan.

Berikut antara suara-suara PPP kontrak yang dibangkitkan dalam media sosial:

(Din Dressa)
"Kami berjuang di sepanjang Pandemik.
"Dan kami ingin terus Berkhidmat.
"Bantu kami untuk terus Bekerja.
"Bersama Suara PPP Kontrak .
"Perjuangkan lantikan tetap dan sambungan kontrak."


(Drisa SWK)
"Habis madu sepah dibuang"
"Maksud: Digunakan sewaktu perlu sahaja, setelah itu ditinggalkan.
"KAMI MAHU TETAP, SUARA PPP KONTRAK."


(Penolong Pegawai Perubatan Terengganu)
"Kami di Terengganu mahukan mereka 4848 PPP Lantikan Kontrak diserap ke lantikan tetap.

"Setiap mobilisasi keluar dari negeri, PPP Kontrak mengisi. Kerja rencang, PPP Kontrak yang buat. Kami mahu adik-adik kami terus berbakti kepada masyarakat dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang optimum.

"Kami di Penolong Pegawai Perubatan Terengganu menyokong penuh lantikan tetap kepada PPP Lantikan Kontrak."


(Ja Har)
"Bismillahirrahmanirrahim.
Kami dengan rendah diri ingin menuntut agar :
1. PPP Kontrak yang sedang berkhidmat diberikan tawaran pelantikan tetap dalam lantikan perkhidmatan kesihatan sedia ada.
2. Diberikan peluang sama rata dalam memberikan perkhidmatan di dalam sistem kesihatan negara melalui skop yang lebih luas berdasarkan demi memacu visi, misi dan objektif sistem perkhidmatan kesihatan negara."


(Ahmad Emirul)
"Bismillahhirahmannirrohim
2.2.2022
Tarikh yang diperjuangkan oleh profession PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN (PPP) untuk staf berstatus kontrak dari KKM mahupun swasta.
Semoga dipermudahkan urusan."

-ENDS-