KUALA NERUS: Majlis Ambang Ramadan Astro akan meneruskan siri penjelajahan di Kelantan dan Pahang pada 1, 7 dan 8 Mac ini.

Pengurus Kandungan Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, Terengganu menjadi negeri pertama di Pantai Timur yang membuka tirai acara ini menerusi segmen 'Assalamualaikum Terengganu' yang diadakan di Masjid Kampung Tok Jembal pada Jumaat.

Katanya, meskipun dilakukan di kawasan masjid, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan konsep yang sama akan diteruskan di Kelantan dan Pahang nanti.

"Bagi menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, kita rasakan pemilihan masjid adalah pendekatan yang sesuai dan dapat diterima ramai.

"Secara tidak langsung ia dapat menarik orang ramai untuk berkunjung, seterusnya mengimarahkan masjid,“ katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Saluran Astro Oasis, Haneff Mohd Taufik berkata, pelbagai acara menanti pengunjung sepanjang siri penjelajahan itu nanti termasuk persembahan artis.

Sepanjang Ramadan nanti juga, saluran Astro Oasis turut menyajikan pelbagai program Islamik dan ilmiah yang bakal memenuhi keperluan pelanggan dalam menunaikan ibadah puasa.

"Buat julung kalinya rakaman Tazkirah Malam Jumaat dibawa khas ke Pantai Timur bersama panel-panel asatizah yang terkemuka.

"Dan menjelang Ramadan ini, Astro Oasis juga membawakan pelbagai program menarik seperti Malam Ini: Ustaz Don, Geng Ngaji, Jom Khatam, Bidadari Syurga Musim 2, Langkah Nabi dan sebagainya,” tambahnya.

Wan Syahrul Amry ketika hadir bagi menyampaikan hadiah pada Majlis Ambang Ramadan Astro di Kuala Nerus, Terengganu. - Foto Astro

Penyanyi dan penyampai radio Zayan, Mawi pula berkata, dia bersama rakan penyampai termasuk dari radio Gegar, sangat teruja menyertai program seperti ini, sekali gus dapat membudayakan program keagamaan.

Katanya, dia bersama rakan artis dan penyampai yang lain juga akan menyertai Majlis Ambang Ramadan Astro yang diteruskan selepas ini.

"Saya bersyukur sangat-sangat dijemput sebagai salah seorang selebriti penyanyi untuk menyertai program ini. Bukan saya saja dari Zayan, tetapi saya dan Faizal Ismail, di mana Faizal akan tampil menerusi tazkirah Maghrib,” jelasnya.

Majlis Ambang Ramadan Astro juga menampilkan beberapa artis lain seperti Naqiu, In Team serta maskot Didi & Friends dan Omar & Hana.

Majlis Ambang Ramadan Astro di Kelantan akan diadakan pada 1 Mac bertempat di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. - Foto Astro