PUTRAJAYA: Daripada sibuk memikirkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), adalah lebih baik sekiranya ahli politik mencari cara terbaik untuk ‘mengisi perut’ rakyat.

Demikian pendapat Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin ketika ditanya desakan sesetengah pihak yang mahukan pilihan raya diadakan segera.

Tegasnya, sekarang bukanlah masa sesuai untuk pilihan raya apatah lagi dalam keadaan rakyat berdepan pelbagai masalah termasuk isu harga barang.

BACA: PRU15: Pulangkan mandat secepat mungkin, wujudkan kerajaan yang lebih stabil - Pemuda UMNO

BACA: Pas khuatir kehilangan kerusi sedia ada jika PRU15 diadakan segera - Ahmad Zahid

“Ini pandangan peribadi saya sebagai penyelidik mengenai hal ini selama 45 tahun... isunya adalah antara perut dan pilihan raya. Jadi mana dulu? Cuba fikir.

“Jadi kalau mereka (ahli politik) boleh huraikan yang pentingnya pilihan raya, mesti ada huraiannya tapi pada saya, perut (perut rakyat) ini kita kena jaga. Perut kosonglah yang menjadi isu.

Suara Rakyat | Jangan tergesa-gesa adakan PRU-15

“Nak pergi mengundi dengan perut kosong? Jadi ini...fikirlah. Semua bijak pandai dan semuanya ahli politik yang hebat-hebat belaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Inaugural Global Malaysian Studies Network (GMSN) di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, mengulas tarikh pilihan raya yang paling sesuai, Shamsul Amri berkata, lebih baik menunggu sehingga akhir tempoh satu penggal.

PRU15 | Mungkin diadakan sebelum Julai 2023 - PM

“Pilihan raya pada ketika ini, saya rasa yang lebih baik tunggulah yang akhir tempoh. Kalau tidak nanti, ganti lagi Perdana Menteri.

“Empat Perdana Menteri satu pilihan raya, four in one, tak pernah dibuat. Three in one ya, tapi four in one tak pernah kita buat.

“Jadi ini isu-isu yang saya fikir harus difikirkan mereka yang memerintah. Saya berpandangan isu perut (nasib rakyat) selesaikan dahulu,” ujarnya.