KAMPAR: Dua lelaki ditahan setelah dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan minyak diesel bersubsidi dengan nilai sitaan lebih RM400,000 di hadapan bengkel lori, di Jalan Degung, di sini pada Selasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan tangkapan itu merupakan hasil risikan penguat kuasa KPDN Perak selama dua minggu, yang dilaporkan oleh orang awam.

Katanya, modus operandi sindiket tersebut adalah mengunakan lori tangki yang disyaki telah diubahsuai tangki asal kenderaan dan membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar Kampar.

Setelah itu, mereka akan bergerak ke suatu lokasi terpencil dan menjualnya terus kepada lori tangki pembeli dan aktiviti itu dilakukan awal pagi bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Seawal jam 6.20 pagi pada Selasa, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak melaksanakan operasi pemeriksaan melalui Ops Tiris 2.0.

"Risikan dilakukan dengan menjejak lori tangki tersebut sehingga pasukan menemui dua lori tangki disyaki sedang melakukan aktiviti jual beli minyak diesel melalui pemindahan dari tangki ke tangki lori berkenaan di hadapan sebuah bengkel lori.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lori tangki tersebut menemui anggaran sebanyak 13,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel.

"Dua pemandu lelaki tempatan berumur 25 dan 32 tahun yang ditemui di tempat kejadian telah ditahan untuk siasatan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ujarnya lagi, pemandu lori gagal mengemukakan sebarang lesen Control Supply Act (CSA) bagi borong, runcit atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta.

Sehubungan itu katanya, cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran 13,000 liter dan dua lori tangki telah disita.

Selain itu, nilai sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM428,450.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau juga menyarankan masyarakat menjadi mata dan telinga  kepada pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama sekiranya  mempunyai sebarang maklumat terutamanya aktiviti  penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan melalui saluran berikut: WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, e-aduan.kpdn.gov.my, call centre 1-800-886-800,[email protected] dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.