JOHOR BAHRU: Sembilan individu disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi ditahan pihak polis menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar daerah ini, pada Jumaat (30 September) dan pagi Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek terdiri lapan lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing, berumur 20 hingga 41 tahun.

Katanya, serbuan menerusi Op Kontraban itu turut berjaya menggagalkan cubaan menyeludup diesel bersubsidi bernilai RM48,494.

"Serbuan pertama dilancarkan di stesen minyak Jalan Hang Jebat, Skudai, di sini, sekitar jam 5 petang, semalam (Jumaat)

“Pihak polis dari bahagian Siasatan jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang turut dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Susulan penahanan itu turut membawa kepada serbuan kedua yang dijalankan di sebuah stor di Jalan Ban Foo, Ulu Tiram pada 11 malam, hari sama.

“Enam lelaki tempatan dan seorang lelaki asing, berusia 20 hingga 41 tahun telah ditahan di stor yang dijadikan tempat penyimpanan diesel bersubsidi itu.

“Rentetan serbuan tersebut, pihak polis melancarkan serbuan tempat penyimpanan diesel yang terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 2.15 pagi tadi (Sabtu).

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 21 tahun ditahan dalam serbuan terakhir itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut beliau, selain 17,444 liter minyak diesel yang dirampas, pihaknya turut menyita empat buat lori, sebuah van dan sembilan tangki penyimpanan minyak yang dipercayai digunakan dalam sindiket penyeludupan.

Jelas Kamarul, keseluruhan barang rampasan dalam operasi itu dianggarkan bernilai RM281,494.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(1) Akta sama.