ALOR SETAR: Lima individu termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superitenden (ASP) dan Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas kesalahan menyeludup 119 migran warga Myanmar, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh ASP Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd Razin Razali, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menyeludup 119 migran warga Myanmar pada  kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah, Kota Setar, sekitar jam 9.30 malam, 24 Mei lalu.

Mohamad Faizal dan Mohd. Razin didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun penjara dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Tiga lagi tertuduh yang didakwa berasingan ialah Anas Hafizin Ahmad, 37, yang juga polis bantuan sebuah agensi kerajaan serta Ibrahim Dahamid, 38, dan Muhamad Aslam Osman, 29, masing-masing bekerja sebagai nelayan dan bekerja sendiri.

Ketiga-tiga mereka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 26A akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya sekali.

Seludup Migran | Lima individu termasuk ASP dan koperal didakwa


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan  Negeri Kedah, Zahruddin Mohammed Isa dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syifa Mohd. Hamzah serta Nor Syaliati Mohd. Sobri manakala Koperal Mohd Razin diwakili peguam Ravi Shankar Gandhi.

Keempat-empat lagi tertuduh yang lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa tiada jaminan ditawarkan bagi kesalahan berkenaan dan menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.