KUALA LUMPUR: Seluruh negara terutama pemain industri pelancongan mula bersiap sedia menerima 'gelombang' pergerakan rentas negeri susulan kebenaran aktiviti itu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan serentak di seluruh negara setelah kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus.

Sasaran itu semakin hampir apabila 89.4 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksin COVID-19 setakat malam tadi.

Kebenaran rentas negeri itu dijangka turut akan meningkatkan kehadiran pengunjung ke lokasi-lokasi pelancongan, justeru penyedia perkhidmatan pengangkutan darat dan feri antara pihak paling awal membuat persiapan menjelang pengumuman tersebut.

Bagi menghadapi keadaan itu, pihak pengusaha feri di Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bersiap sedia bagi menambah jumlah perjalanan feri dari semasa ke semasa mengikut permintaan pelancong.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapten Baharin Baharom berkata buat masa ini hanya satu perjalanan (trip) feri beroperasi dari Kuala Kedah ke Langkawi dan dua trip perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi.

Beliau berkata pelancong perlu berada dua jam lebih awal di jeti bagi mengelak kesesakan seterusnya menyukarkan proses saringan kesihatan dan keselamatan sebelum kemasukan ke pulau peranginan itu terutama dengan peningkatan jumlah pelancong ke Langkawi.

Di PAHANG, petugas di Terminal Feri Jeti Teluk Gading (dahulunya Tanjung Gemok) Nurhanim Mohd Jaaffar berkata pihaknya mengharapkan kerjasama daripada pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan COVID-19 antaranya sentiasa menjaga jarak dan memakai pelitup muka.

Beliau berkata proses sanitasi kerap dilaksanakan di jeti selain di dalam feri yang akan membawa pelancong ke Pulau Tioman dengan kapasiti 130 hingga 200 penumpang.

Di PERAK, bagi sektor pelancongan di Pulau Pangkor, kebanyakan pengusaha teksi kini bersiap sedia menerima pelancong dengan memastikan pengangkutan mereka dalam keadaan terbaik termasuk aspek pematuhan SOP dengan menyediakan kod QR MySejahtera di setiap van.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) cawangan Perak Hisham Yusof berharap kerajaan menyediakan garis panduan SOP yang jelas dan selari bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri supaya tidak mengelirukan pengusaha dan pelancong.

"Kita tidak mahu berlaku apabila rakyat Malaysia sudah dibenarkan rentas negeri, SOP bagi pengusaha negeri masih belum dikeluarkan sekali gus menyebabkan kami tidak boleh beroperasi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di KUALA LUMPUR, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang merupakan stesen bas bersepadu laluan ke utara, selatan dan timur tanah air dijangka kembali menjadi tumpuan orang ramai sebaik sahaja kelonggaran rentas negeri dibenarkan.

Pengarah Urusan Maju TMAS Sdn Bhd Datuk Roslan Shariff yang merupakan pengendali perkhidmatan TBS berkata pihaknya menjangkakan peningkatan sebanyak 50 peratus penjualan tiket bas sehari berbanding 10 peratus sahaja pada masa sekarang.

Di NEGERI SEMBILAN, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusoff, 61, berkata pihaknya sudah melakukan persiapan awal termasuk memastikan kesemua bas disanitasi terlebih dahulu sebelum beroperasi apabila rentas negeri dibenarkan.

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan peralatan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan memastikan penumpang mengikut SOP ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Muhibah Pemandu-Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Bandar Seremban, P Ravi Chantar, 55, berkata kebenaran merentas negeri bakal memberi sinar baharu kepada industri teksi di Seremban yang teruk terjejas akibat COVID-19.

Di MELAKA, dianggarkan 8,000 hingga 15,000 pengunjung dijangka menggunakan perkhidmatan yang disediakan di Terminal Melaka Sentral di Jalan Tun Razak khususnya perkhidmatan bas ekspres, dalam sehari.

Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn Bhd Abu Bakar Jani berkata ini melibatkan pergerakan bas ekspres antara 280 dan 340 perjalanan sehari dari pelbagai lokasi di seluruh negara sebaik pengumuman rentas negeri dibenarkan menggunakan pengangkutan awam.

Selain memastikan aspek pematuhan SOP dengan mengawal laluan keluar dan masuk ke terminal, beliau berkata kesemua 47 kakitangan termasuk 24 petugas di kaunter pembelian tiket telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 sebagai langkah pencegahan daripada jangkitan wabak itu.

Di KELANTAN, Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia Che Ibrahim Che Ismail berkata penumpang bas ekspres tidak perlu khuatir memandangkan hampir 80 peratus pemandu bas di negeri itu daripada 500 orang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

"Bagi memastikan keselamatan penumpang, hanya mereka yang sudah lengkap tempoh matang dua dos vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera sahaja akan dibenarkan menaiki perkhidmatan awam ini," katanya.

Di PULAU PINANG, Rapid Penang ketika dihubungi Bernama berkata permintaan dan aliran penumpang akan dipantau dengan teliti untuk meningkatkan frekuensi bas berdasarkan keperluan.

"Rapid Bus Sdn Bhd mengesahkan bahawa hanya kakitangan yang diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan bekerja sebagai barisan hadapan untuk perkhidmatan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Kuantan," katanya.

Sementara itu, pengasas taman tema 'Escape' Pulau Pinang di Teluk Bahang Sim Choo Kheng berkata penjualan tiket secara fizikal tidak lagi disediakan, sebaliknya pengunjung perlu membeli tiket secara dalam talian dengan tawaran diskaun hingga 30 peratus.

Di JOHOR, Ahli Lembaga Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Iskandar Zulkifli Zainudin berkata pemain industri pengangkutan awam darat di negeri itu turut membuat persiapan rapi termasuk memastikan para pemandu melengkapkan vaksinasi dan mensanitasi kenderaan mereka.

Di SELANGOR, Taman Tema I-City di Shah Alam yang ditutup sementara susulan COVID-19 dibuka semula secara rasmi semalam.

Ketua Komunikasi Korporat (Head of Leisure) I-Berhad, Tang Soke Cheng ketika dihubungi berkata pihaknya mula membuka kesemua perkhidmatan taman tema itu dengan kadar pengoperasian 50 peratus bermula 3 petang hingga 11 malam.

-- BERNAMA