Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Negeri Sembilan, Syahrul Nizam Saleh, menafikan dakwaan 40 individu daripada Kluster Pasar Awam Bahau (PAB) yang diambil sampel pada 28 April lalu didapati positif COVID-19.

Sebaliknya, Syahrul berkata hanya seorang peniaga sahaja yang didapati positif COVID-19 manakala 39 kontak rapat masih menunggu keputusan saringan.

“Mereka akan dihantar ke Pusat Kuarantin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau sebagai langkah kawalan dan pencegahan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) pada Jumaat.

Terdahulu, Pasar Besar Bahau ditutup selama 14 hari sehingga 10 Mei ini bagi proses sanitasi selepas seorang peniaga di pasar berkenaan disahkan positif COVID-19.

Dalam perkembangan sama, Kesihatan Malaysia (KKM), menjelaskan pasar itu tidak akan dikategorikan sebagai kluster baharu.

Ini kerana, katanya, pesakit itu dianggap termasuk dalam kluster Pasar Borong Kuala Lumpur kerana mempunyai sejarah perjalanan ke pasar berkenaan.


Selain itu, kenyataan sama turut menyebut, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Chin Zin Hing menafikan dakwaan bahawa Hospital Umum Sarawak (HUS) ditutup susulan terdapat anggota kesihatan di hospital berkenaan positif COVID-19.

BACA: Penutupan Hospital Umum Sarawak adalah palsu, hospital masih beroperasi seperti biasa - Pengarah JKN Sarawak