Skip to main content

Malaysia

Semakan hukuman kes rasuah Isa Samad ditangguh

PUTRAJAYA, 6 Mac -- Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.  Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, secara sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Feb 2021 selepas membenarkan rayuan bek
Penangguhan dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memaklumkan mereka perlu meneliti Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT) bagi prosiding rayuan yang berlangsung pada 5 dan 10 Februari lalu. -Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Prosiding semakan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta berhubung sembilan pertuduhan rasuah di Mahkamah Persekutuan pada Rabu, ditangguhkan ke tarikh lain.

Kes itu membabitkan sabitan dan hukuman berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kira-kira 12 tahun lalu.

Penangguhan dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memaklumkan mereka perlu meneliti Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT) bagi prosiding rayuan yang berlangsung pada 5 dan 10 Februari lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan Selasa untuk pengurusan kes berkenaan.

Semasa prosiding, peguam, M Athimulan yang mewakili Mohd Isa, 77, memaklumkan, pihak pembelaan gagal menyediakan afidavit bagi menyokong rayuan meringankan hukuman kerana tidak dibenarkan untuk mendapatkan rakaman berkenaan.

Menurutnya, terdapat dakwaan menyatakan bahawa pihaknya tidak mengemukakan mitigasi sedangkan beliau tidak pernah diminta untuk berbuat demikian.

“Saya percaya tiada permintaan sebegitu dan tiada arahan spesifik dari panel ketika prosiding berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, pendakwaan selaku responden juga mempunyai isu sama apabila permohonan untuk mendapatkan rakaman serupa tidak dibenarkan.

Menurutnya, permohonan pembelaan adalah tidak wajar kerana isu berkenaan sudah selesai.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, panel hakim membenarkan permohonan pembelaan.

Hakim juga mengarahkan kedua-dua pihak meneliti rakaman itu dan membandingkan nota masing-masing kemudian memaklumkan kepada mahkamah berhubung persetujuan yang dicapai.

Pada 10 Februari lalu, Mohd Isa diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tahun serta-merta selepas mahkamah mensabitkannya atas sembilan kes rasuah terbabit.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Hakim, Datuk Lee Swee Seng dan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan sebulat suara, sekali gus mengembalikan hukuman yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi.

Panel berkenaan membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Mohd Isa oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa enam tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. -Sinar Harian

 

Must Watch Video