BALING: Semakan tarif air oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memberi kelegaan kewangan kepada Kedah untuk membayar hutang kepada kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata sebelum ini Kedah membayar RM45 juta setahun untuk tempoh 45 tahun kepada kerajaan Persekutuan dan kadar tersebut kini berkurangan kepada antara RM33 juta dan RM35 juta setahun selepas proses migrasi pengurusan air.

"Kali terakhir kenaikan tarif air pada 2010 iaitu sebanyak 10 sen... kalau berlaku kenaikan tarif, kita ada sedikit kelegaan kewangan untuk kita membayar hutang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilaporkan berkata tarif air domestik di semua negeri akan disemak pada awal tahun depan susulan ada negeri yang tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.

"Kita tunggu, tengok setakat mana mekanisme itu akan menentukan tarif baharu air di seluruh negara, sekarang ini setiap negeri tidak sama, Johor harga lain, Kedah harga lain, kalau boleh diselaraskan, Alhamdulillah.

"Sudah 13 tahun tiada semakan tarif air di Kedah, kalau berlaku sedikit kenaikan, banyak benda kita boleh buat, (tetapi) bukan nak membebankan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata masyarakat di daerah Baling perlu mengambil kesempatan dengan memberikan cadangan atau bantahan berhubung Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling 2035 (Penggantian) sebelum akhir bulan ini.

"Setakat ini hanya tujuh cadangan/bantahan yang diterima di daerah ini...tidak ada banyak bantahan di Kedah. Kita tidak mahu apabila projek sudah dilaksanakan, baru nak buat bantahan, budaya cara kita dalam memberi maklum balas terhadap sesuatu rancangan itu perlu diubah," katanya.

-- BERNAMA