KUCHING: Kerajaan Sarawak membuat cadangan pindaan baharu ke atas Artikel 1(2) dan Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan yang disifatkan lebih komprehensif sekali gus menzahirkan semangat sebenar parti ketika persetujuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pindan-pindaan itu menerusi definisi Persekutusan di bawah Artikel 160(2) adalah penting dan perlu dilakukan supaya MA63 serta fasal di dalamnya diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah jelas Abang Johari, pindaan pada artikel itu juga menzahirkan definisi sebenar Hari Malaysia.

"Hari ini, saya menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib.

"Dalam kunjungan ini kami membincangkan mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan beberapa perkara berkaitan MA63 serta kepentingan Sarawak," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pihaknya juga berbincang mengenai pindaan ke atas definisi bumiputera di bawah Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau turut menjelaskan mengenai tindakan kerajaan Sarawak terutama Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2018.

"Kerajaan Sarawak tidak memberikan sokongan pada pindaan pertama kerana pada pandangan kami, pindaan itu hanya bersifat kosmetik dan tidak menggambarkan status khas Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63," katanya.

BACA: MA63: Kurang 10 undi, kerajaan gagal pinda Perlembagaan Persekutuan

Pada 9 April 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan Dewan Rakyat apabila pengundian dibuat secara belah bahagi.

Pengundian dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggulung perbahasan mengenai pindaan itu mulai jam 9.30 malam.

Keputusan undian yang dijalankan mendapati 138 daripada 221 wakil rakyat mengundi bersetuju RUU itu diluluskan, manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi.

Ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, Dr Mahathir berkata, pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia 1963.

Perdana Menteri berkata, pindaan dibuat kerana kerajaan menyedari hasrat dan tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak agar kedudukan seperti yang dipersetujui ketika Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimeterai dan Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dapat dizahirkan semula.

“Pindaan ini, dalam apa-apa cara, tidak mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah sistem federalisme diamalkan di negara ini,” katanya.