Universiti UCSI baru-baru ini melancarkan Kempen Hijau selama dua hari bertempat di kampusnya di sini, bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan memulihara alam sekitar.

Beberapa gerai bertemakan Hari Alam Sekitar Sedunia dibuka termasuk yang menjual tanaman dalam pasu dan produk lain yang mesra alam.

Majlis pada Khamis lalu dirasmikan Datuk Bandar Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang memuji peranan yang dimainkan universiti itu dalam usaha mewujudkan masa depan yang mampan.

"Saya difahamkan UCSI telah mengadakan satu sudut hijau di hampir setiap tingkat bangunan di kampusnya.

"Universiti itu juga menganjurkan Pertandingan Lukisan Kebangsaan 2019 untuk menggalakkan golongan muda menzahirkan pandangan mereka mengenai Bandar Raya Hijau.

"Untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar, universiti ini juga mencipta fesyen bunga raya yang diperbuat dari kertas kitar semula yang terpanjang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tidak lama lagi," kata Nor Hisham.

Turut hadir, pengasas dan ketua eksekutif Kumpulan UCSI Datuk Peter Ng.

UCSI juga menggunakan beberapa ciri-ciri hijau seperti lampu sensor pergerakan di kemudahan tempat letak kereta dan pengasingan sisa buangan.

Selain itu, Ng menegaskan, universiti itu turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk mengambil kira amalan mampan dalam pembinaan bangunan baru dan projek pembinaan dalam kampus.

"Hotel mewah kami di Kuching merupakan sebuah bangunan yang menerima persijilan Indeks Bangunan Hijau.

"Ia melibatkan banyak tenaga bersih - memanfaatkan tenaga suria untuk menyalakan lampu jalan dan pemanasan, menggunakan air hujan dan aliran sungai serta aliran angin untuk menurunkan suhu secara semula jadi," kata Ng.

UCSI merupakan sebuah universiti swasta terkemuka di Malaysia yang juga diiktiraf sebagai Pusat Kepakaran Serantau oleh Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu.