DENGAN hasrat memberi ruang dan peluang kepada alumni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebuah galeri ditubuhkan.

Galeri yang ditubuhkan di bawah UiTM Art & Design Sdn Bhd, anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd dinamakan sebagai Segaris Art Center.

Sejak 10 tahun lalu, Segaris Art Center bertapak di Publika, sebuah pusat membeli belah yang berhasrat menjadi 'hub seni'.

Dan kembali ke masa kini, selepas 10 tahun, Publika yang awalnya meriah dengan kehadiran galeri-galeri seni antaranya Galeri Interp, Pipal, RA Gallery, Galeri Chandan, Artemis, Artelier dan lain-lain.

Namun atas sebab-sebab yang sukar dijelaskan, mungkin kerana kesukaran menanggung sewa, sukar membuat jualan dan pemasaran, hilang strategi dan tiada ‘supply artist’, galeri-galeri ini tutup satu demi satu.

Ini sesuatu yang merugikan kepada seniman dan juga ‘art scene’ di negara ini.

Patah balik ke tahun 2011, Segaris Art Center bertapak di Publika. Bermula 9 Mei 2012, pameran pertama berjudul ‘Suarasa’ yang menghimpunkan karya-karya Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Awang Damit Ahmad, Ahmad Zakii Anwar, Ramlan Abdullah, Jalaini Abu Hassan, Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Shukri Mohamed, Jamil Mat Isa, Daud Abd Rahim, Fauzul Yusri, Mohd Shaharuddin Supar,Umi Baizurah Mahir@Ismail dan Ilham Fadhil.

Di tahun yang sama, Segaris Art Center mula menyertai Art Expo Malaysia dan mengadakan pameran solo Tajuddin Ismail dengan judul Mind, Matter & Metaphor. Selepas itu, Segaris Art Center tidak menoleh ke belakang lagi.

Dalam tempoh sepuluh tahun, lebih 100 pameran yang melibatkan 500 seniman telah diadakan yang mana 80 peratus merupakan alumni UiTM. Pameran yang disertai bukan hanya dalam negara tetapi juga di luar negara.

Ianya sesuatu yang membanggakan bagi pasukan Segaris Art Center yang diketuai oleh Mohd Nizam Rahmat selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Azrin Mohd sebagai Pengurus. Kedua-duanya merupakan alumni UiTM.

“Kami berdua juga merupakan seniman yang turut menyertai beberapa pameran sebelum Bersama Segaris.

“Setelah Bersama Segaris, kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan hasrat UiTM Holdings Berjaya dan dapat membantu seniman yang dilahirkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM.

“Tetapi Segaris sebenarnya tidak menghadkan kepada graduan atau alumni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM semata-mata tetapi kami juga membuka peluang kepada seniman yang graduasi dari pusat pengajian lain dan yang self-taught (belajar sendiri).

“Kami terbuka sebenarnya tetapi seperti yang ramai tahu, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM memang melahirkan ramai seniman yang sangat aktif, jadi Segaris menyediakan ruang dan peluang (peluang pertama) kepada mereka,” kata Nizam.

Ketua Pegawai Eksekutif Segaris Art Center, Nizam Rahmat. - Gambar Segaris Art Cente

Cerita Nizam lagi, selepas menyertai Segaris Art Center pada 2016, beliau dan Azrin berusaha untuk menambah jumlah pameran yang diadakan setiap tahun.

Selain itu, Segaris Art Center juga berusaha membina kerjasama dengan pihak lain dalam usaha membuka ruang kepada seniman mempamerkan karya mereka.

Kerjasama yang dijalinkan sememangnya membuahkan hasil kerana beberapa siri pameran telah diadakan antara dengan pengeluar kondom Karex Malaysia menjayakan Art Against AIDS. Satu pameran yang turut sama menjayakan kempen tentang AIDS.

“Segaris berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa pihak lain untuk memastikan kami dapat meneroka lebih banyak peluang kepada seniman-seniman dalam negara.

“Kami tidak mahu hanya bergerak sendirian. Jika ada peluang yang sesuai kami akan menyertainya bagi memastikan acara seni catan sentiasa hidup,” jelas Nizam.

Untuk pameran sempena sambutan sepuluh tahun yang berlangsung dari 4 hingga 17 Oktober ini, Segaris Art Center berkolaborasi dengan jenama elektronik Korea Selatan, Samsung yang memberi penajaan lima set TV Samsung Frame, sebuah televisyen berbingkai yang boleh digunakan oleh pengumpul seni untuk mempamerkan secara digital karya-karya yang dikumpul.

Niskala antara pameran yang diadakan secara online ketika PKP. - Gambar ihsan Segaris Art Center

Lima set Samsung Frame ini akan diletakkan di White Box, Publika, salah satu lokasi pameran sempena sambutan ulang tahun ke sepuluh.

Selain Samsung, Segaris Art Center juga pernah bekerjasama dengan jenama lain antara jenama solekan dari Jepun, She Uemura, Karex dan juga dengan badan-badan lain seperti acara tahunan CIMB ArTober dan Galeri Prima News Strits Times.

Segaris Art Center juga pernah berkolaborasi dengan beberapa pusat pengajian seni halus dari Indonesia dan menganjurkan pameran antaranya BEDA, yang mengumpulkan seniman muda dari dua negara. 

Segaris Art Center juga menjadi pilihan Keluarga DiRaja apabila menganjurkan pameran antaranya, The Legacy To My Family: Memoirs Of Enche Besar pada 2018, buat pertama kalinya 100 cetakan ukiran oleh Yang Amat Mulia Almarhumah Ence Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah dibawakan dari London.

Pameran amal yang Berjaya mengumpulkan RM400,000 dan diadakan di Grand Ballroom Hotel Shangrila itu dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Selain itu, pada 2019, Segaris Art Center dipilih untuk menganjurkan Mihrab, pameran bertemakan Masjid yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mihrab disertai oleh 38 seniman tempatan pelbagai bangsa.

Nizam dan Azrin Mohd, dua tonggak utama yang bertungkus lumus untuk Segaris Art Center. - Gambar ihsan Segaris Art Cente

Sepanjang 10 tahun, Segaris Art Center sering mendapat perhatian media kerana konsisten menganjurkan pameran. Dalam setahun, banyak pameran diadakan menjadikan galeri ini sentiasa hidup dan menjadi perhatian seniman tanpa mengira usia dan bangsa.

Aktif dengan media sosial membuatkan senarai pengumpul seni dalam pengkalan data Segaris Art Center juga berubah.

Cerita Nizam, pengkalan data pengumpul seni mereka kini memperlihatkan peningkatan dari kalangan generasi muda.

Ia bukti strategi dan semangat muda Segaris Art Center mempromosikan galeri itu di media sosial membuahkan hasil.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac 2020 meresahkan semua pihak termasuk juga bagi galeri-galeri seni kerana pameran secara fizikal tidak dapat dilaksanakan.

Segaris Art Center juga tidak terkecuali terpaksa melupakan pameran fizikal yang telah dirancang sebelumnya kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Nizam memberitahu, Segaris Art Center tidak menjadikan duduk rumah sebagai alasan untuk terus diam tanpa sebarang pameran yang boleh membantu seniman.

Biarpun tidak dapat melakukan pameran secara fizikal, Segaris Art Center tampil dengan pameran secara maya. No(w) Showing pada tahun 2020 merupakan pameran secara maya pertama dianjurkan ketika tempoh PKP.

Ini bukti Segaris Art Center sentiasa berusaha memastikan acara seni terus hidup biarpun terdapat berbagai halangan.

“Dengan pameran secara maya itu, kami secara tidak langsung telah membantu seniman-seniman tempatan terus berkaraya kerana ada ruang untuk dipamerkan.

“Percubaan kami tidak mengecewakan kerana banyak karya-karya yang terjual,” ujarnya.

Sepanjang tempoh PKP yang berulang beberapa kali dari Mac 2020 hinggalah Perdana Menteri bertukar, Segaris Art Center tidak pernah gagal menganjurkan pameran secara maya.

Antara pameran yang berjaya dan sold-out ketika tempoh PKP adalah Pameran berkumpulan Niskala, Sa-Hari-Hari oleh Kide Baharuddin, seniman yang mendapat perhatian golongan muda atau generasi Instagram dan Tik-Tok.

Terbaharu, Segaris Art Center berjaya dengan pameran solo Faiz Hamdon atau FaFa yang berjudul Panorama.

Begitulah Segaris Art Center selama sepuluh tahun wujud sebagai galeri seni yang sangat aktif.

Berada di bangunan pusat membeli belah yang dianggap elitis (mungkin kerana kos parkirnya yang agak mahal), Segaris Art Center sentiasa menjadi perhatian seniman dan pengumpul seni.

Setelah sepuluh tahun, Segaris Art Center tentunya akan terus aktif menganjurkan pameran kerana ia mahu terus menjadi galeri pilihan seniman.

Dengan adanya galeri yang aktif seperti Segaris Art Center, seniman dapat mempamerkan dan menjual karya mereka bagi memastikan dapur terus berasap dan melunaskan segala macam bil yang terus melangit.

Dirgahayu Segaris Art Center. Semoga terus maju jaya.