KLANG: Semangat muhibah dan rasa sayang serta cinta pada negara, perlu hadir dan diterapkan bersekali dalam diri setiap rakyat Malaysia, bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai latar belakang.

Pakar sejarah Prof Datuk Ramlah Adam berkata muhibbah iaitu semangat kerukunan dan perasaan persahabatan atau kemesraan, sebenarnya sudah lama ada dalam diri rakyat sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, apabila masyarakat majmuk yang ada dapat menerima wujudnya pelbagai latar belakang bangsa, agama dan budaya.

Namun, beliau berkata semangat itu dilihat semakin dilupakan, apabila ada segelintir rakyat mula menyentuh isu-isu sensitif seperti agama serta kaum sejak kebelakangan ini, dan ia dilihat kian melebar apabila masing-masing boleh berkongsi pendapat melibatkan perasaan serta cita rasa sendiri.

"Kadang-kadang mereka dilihat bersifat tidak bertanggungjawab dan terleka, apabila melontarkan apa sahaja pendapat khususnya perkara yang akan memberi kesan kepada masyarakat Malaysia," katanya dalam sesi temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, baru-baru ini.

Ramlah, yang juga bekas professor di Universiti Malaya berkata perkara berkenaan, dapat dilihat dalam pilihan raya enam negeri baru-baru ini serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apabila banyak isu sensitif berkaitan agama, raja dan kaum, dimainkan dalam meraih undi khususnya bagi orang Melayu yang menyebabkan wujudnya perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Saya ingat apabila wujudnya Akta Hasutan 1948, salah satu objektifnya ialah bagi mengurangkan soal perkauman, dengan (sesiapa yang mewujudkan isu perkauman) akan diambil tindakan. Tidak boleh dipersoalkan tentang perkara sensitif (isu agama, bangsa dan institusi raja-raja atau 3R)," katanya.

Ramlah menjelaskan, tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan bagi menangani isu 3R wajar, kerana isu sensitif boleh menganggu keharmonian dan usaha perpaduan yang telah serta sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan, khususnya menerusi konsep Malaysia MADANI.

Mengenai konsep Malaysia MADANI, Ramlah berkata ia merupakan satu konsep yang mana masyarakat bekerjasama antara satu sama lain, hormat menghormati, malah bersatu dalam menerima perbezaan.

Menerusi konsep itu, beliau berkata setiap rakyat Malaysia menerima perkara asas dalam masyarakat MADANI iaitu hidup muhibbah secara bersama, menghormati hak orang lain, susur budaya dan mendapat layanan yang sama antara kaum.

Selain itu, Ramlah berkata pendidikan serta penguatkuasaan dalam melahirkan masyarakat yang sayang pada negara, perlu dijalankan serentak dan dimulakan pada peringkat awal persekolahan lagi.

"Bagi saya kedua-duanya (pendidikan dan penguatkuasaan) perlu dilaksanakan serentak. Ia tidak boleh mana dahulu mana kemudian. Sebab kita nak membina anak-anak bangsa Malaysia ini, kita mesti berjalan dalam semua arah dan aspek," katanya.

-- BERNAMA