PM Anwar zahir keprihatinan, arah bantu dua anggota trafik cedera ketika iringi delegasi ASEAN

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (kiri) menyampaikan bantuan kepada Koperal Kamarul Suari (tengah) yang cedera dalam kemalangan ketika mengiringi delegasi. - Foto Bernama
HULU SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap dua anggota trafik yang cedera ketika menjalankan tugas mengiringi delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, dan telah mengarahkan agar bantuan segera disalurkan kepada mereka.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri arah bantuan segera kepada dua anggota trafik yang cedera ketika mengiringi delegasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.
- Koperal Kamarul Suari dan Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri mengalami kecederaan serius dalam dua kemalangan berasingan ketika bertugas, masing-masing di Dengkil dan Jalan Tun Razak.
- Lawatan kebajikan dan sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan PM, bersama wakil Kementerian Dalam Negeri dan JSPT Bukit Aman, bagi meringankan beban keluarga anggota terbabit.
"Ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat cemerlang pasukan keselamatan yang memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN," katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan kebajikan kepada dua anggota berkenaan masing-masing di Puchong dan Hulu Selangor, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Omar Mokhtar.
Shamsul Iskandar berkata, bantuan itu juga bertujuan meringankan beban keluarga anggota terbabit yang turut terkesan akibat kecederaan dialami mereka.
"Perdana Menteri mengarahkan agar sumbangan segera diberikan kerana tugas yang mereka laksanakan amat penting demi keselamatan, selain berdepan risiko tinggi," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang sidang kemuncak ASEAN berlangsung.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (kiri) menyampaikan bantuan kepada anggota beliau, Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri yang cedera dalam kemalangan ketika mengiringi delegasi. - Foto Bernama
Dalam kejadian pertama pada Sabtu lepas, Koperal Kamarul Suari, 35, cedera selepas motosikal Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditungganginya dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil arah Utara, Lebuhraya Elite.
Ketika kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Kamarul yang bertugas di Cawangan Kawalan Lalu Lintas JSPT Kuala Lumpur mengalami kecederaan patah betis kiri, cedera pergelangan kaki kiri serta lutut kiri dan menerima rawatan di Hospital Cyberjaya.
Dalam kejadian kedua pada Ahad lepas, Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri, 25 tahun cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur.
Ketika kejadian Muhammad Danial yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sedang mengiringi delegasi dari Brazil yang dalam perjalanan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sebelum motosikalnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

