Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat mempamerkan semangat kebersamaan dan cintakan negara menyambut Hari Kebangsaan 2015.

Bertemakan 'Sehati Sejiwa' sambutan hari bersejarah itu disertai ratusan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang memenuhi setiap lokasi sambutan di seluruh negara.

Di Dataran Merdeka, lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme yang diserikan melalui persembahan bertenaga dan perbarisan oleh hampir 13,000 peserta pelbagai kontinjen termasuk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Di PERAK, sambutan kemerdekaan bermula seawal 8 pagi dengan kira-kira 10,000 orang hadir menyaksikan perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai rakyat meraikan sambutan itu bersama-sama puteri baginda Raja Nazira Safya; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkipli.

Sebanyak 114 kontinjen melibatkan 6,500 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institut pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan tersebut.

Acara turut dimeriahkan dengan gabungan nyanyian koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Sekolah Menengah Kebangsaan Tarcisian Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent.




Di SEREMBAN, 118 kontinjen melibatkan 11,000 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pasukan beruniform, parti komponen Barisan Nasional (BN), sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58 peringkat Negeri Sembilan di Jalan Yam Tuan (hadapan Bangunan Majlis Perbandaran Seremban) di sini.

Perarakan dan sambutan tersebut yang diraikan dengan penuh meriah bermula 8.30 pagi sebaik sahaja Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat tiba.

Turut hadir Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, Speaker Datuk Dr Awaludin Said, anggota exco dan ketua-ketua jabatan.

Turut mengambil bahagian perarakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkuatan Jalan (JPJ) selain 1,058 anggota tentera dari 1 Briged Infantri Malaysia Kem Rasah mengadakan persembahan tarian perang.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron bersama barisan exco dan kira-kira 1,000 rakyat tempatan serta pelancong asing menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2015 di hadapan Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini pagi ini.

Seramai 8,798 peserta membabitkan 209 kontinjen yang terdiri daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan menyertai perarakan yang dimeriahkan dengan pakaian berwarna-warni serta alunan muzik kumpulan pancaragam yang mengambil bahagian.

Di PULAU PINANG, acara perbarisan dan perarakan diadakan secara sederhana di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Sebanyak 4,000 peserta daripada 74 kontinjen membabitkan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah serta 236 kenderaan bermotor menyertai perbarisan sempena Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri itu.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan Exco kerajaan negeri hadir menyaksikan sambutan yang bermula pada 9 pagi itu.




Turut diadakan persembahan tarian tradisional daripada tiga kaum di Malaysia, nyanyian lagu patriotik dan persembahan gimnastik Soka Gakkai Malaysia Pulau Pinang.

Di KEDAH, sambutan yang diadakan di Dataran Balai Besar turut dihadiri Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Turut hadir Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya.

Walaupun hujan lebat turun sebelum bermulanya perarakan, namun orang ramai tidak berganjak untuk melihat acara perbarisan yang bermula pada 9 pagi yang disertai 66 pasukan daripada pelbagai agensi pusat dan negeri.

Di KELANTAN, Hari Kebangsaan 2015 disambut secara sederhana membabitkan 2,077 peserta mewakili 67 kontinjen jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta 500 hadirin di Institut Kemahiran Belia negara (IKBN) Bachok di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob itu bermula pada 8.40 pagi dan berakhir kira-kira satu jam kemudian turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan perbarisan 58 Jalur Gemilang dan 58 bendera negeri Kelantan sebagai simbolik 58 tahun sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini, oleh agensi keselamatan dan turut diselitkan dengan deklamasi sajak serta persembahan empat buah paramotor daripada Persatuan Paramotor Kelantan.

Di KOTA KINABALU, satu persembahan khas bagi mengenang insiden gempa bumi menarik perhatian lebih 10,000 orang pengunjung, selain 130 kontinjen yang menyertai sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah di Jalan Tun Fuad Stephens.

Persembahan yang disertai lebih 200 pelajar sekolah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta kabinet negeri Sabah.

Pada 5 Jun lepas, Sabah digegarkan dengan insiden gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang meragut nyawa 18 pendaki Gunung Kinabalu.

Sementara itu, di Tawau sebanyak 89 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan sejauh 1km yang turut dihadiri Anggota Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Di SARAWAK, lebih 3,000 peserta daripada 65 kontinjen yang mewakili pelbagai persatuan, agensi dan jabatan kerajaan menyertai sambutan yang bermula pada pukul 8 pagi ini dengan lebih 5,000 rakyat hadir menyaksikan pelbagai persembahan.

Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud serta menteri Kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan ketua kaum turut hadir pada majlis pagi ini.

Di JOHOR, sambutan Hari Kebangsaan meriah dan penuh semangat patriotisme di Dataran Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Johor Baharu dengan perarakan dan lintas hormat perbarisan yang disertai pelbagai agensi diadakan di Jalan Skudai berhadapan dataran tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Mohamad Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim menerima tabik hormat daripada 93 kontinjen pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).


Acara sambutan disusuli nyanyian lagu Bangsa Johor, upacara menaikkan Jalur Gemilang, bacaan ikrar dan deklamasi sajak dan diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik Jalur Gemilang dan Tanggal 31 serta laungan 'merdeka' beramai-ramai.

Di PAHANG, kira-kira 10,000 peserta yang terdiri daripada 141 kontinjen menyertai perarakan Hari Kebangsaan ke-58 peringkat negeri yang diadakan di Padang Kemunting, Kuantan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat merasmikan majlis yang turut dihadiri Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka anakanda, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi penyelaras sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri, Datuk Abu Bakar Harun serta barisan pemimpin negeri.

Di PERLIS, program sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang diadakan di perkarangan Dataran Merdeka, Kangar tidak terjejas walaupun dalam keadaan hujan dengan hampir 10,000 orang menghadiri acara itu.




Sebanyak 87 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, swasta serta badan-badan bukan kerajaan mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan hari bersejarah itu yang dihadiri Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan isteri Datin Seri Nor Aswana Omar.

Di TERENGGANU, seramai 4,250 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan berkanun, swasta dan pelajar sekolah memeriahkan sambutan hari Kebangsaan peringkat negeri yang diadakan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Sebanyak 147 kontinjen dari seluruh Terengganu mengambil bahagian dalam perbarisan.

Hadir pada sambutan itu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif dan barisan exco kerajaan negeri, ketua jabatan serta pemimpin masyarakat.