KOTA KINABALU: Sebanyak sembilan daerah di Sabah dikecualikan daripada sistem rentas zon yang berkuat kuasa esok.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu susulan sembilan daerah berkenaan belum mencapai syarat sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Sembilan daerah itu ialah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan.

Menurutnya, sebagai contoh daerah Papar yang tersenarai dalam Zon 1 (Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Ranau, Tuaran dan Kota Belud) dikecualikan bagi aktiviti rentas zon.

“Sehubungan itu, Papar hanya boleh melakukan aktiviti rentas dalam daerah itu sahaja (stand alone district).

“Ia turut terguna pakai kepada lapan lagi daerah yang dikecualikan kerana belum mencapai 60 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memberitahu, 18 daerah lain kini dibahagikan kepada lima zon, berbanding enam zon yang dicadangkan sebelum ini.

BACA: Rentas daerah ikut zon di Sabah mulai 1 Oktober - Masidi

"Zon 1 melibatkan daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud; Zon 2 melibatkan daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu manakala Zon 3 terdiri daripada Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran.

"Manakala, Zon 4 merangkumi daerah Lahad Datu dan Kunak dan Zon 5 melibatkan daerah Keningau, Tambunan dan Tenom," katanya lagi.

Terdahulu, Masidi berkata keputusan untuk membenarkan aktiviti rentas daerah mengikut zon telah dicapai selepas perbincangan bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.