Skip to main content

Malaysia

Sembilan Geng Suria didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang

Sembilan ahli kumpulan 'Geng Suria' dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - Foto Bernama
Sembilan ahli kumpulan 'Geng Suria' dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Sembilan lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Suria.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
  • Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 17 November untuk sebutan semula kes.

SUNGAI PETANI: Sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, dikenali sebagai “Geng Suria”.

Mereka ialah Thayalan, 28, A Tana Balan, 30, Muhamad Rizwan Abd Jalil, 28, G Sritharan, 39, B Saranraj, 38, A Simon, 34, G Suria Prasad (ketua), 30, A Suresh, 52, dan Kavines, 31.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil secara berasingan di dua kamar berbeza di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan Najwa Che Mat, kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan itu di rumah tidak bernombor, Jalan Sekerat, Pekan Lama di sini, antara Disember 2024 hingga April lepas mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Peguam S. Sagthiyaraj mewakili Saranraj dan Thayalan, peguam Mohammad Naim Kamaruddin mewakili Sritharan, Simon dan Tana Balan manakala empat tertuduh lagi tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement