KUALA LUMPUR: Seramai sembilan graduan terawal Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dahulunya dikenali sebagai Dewan Latehan RIDA dari tahun 1956 hingga 1965 hadir pada Istiadat Konvokesyen universiti itu, pada Sabtu.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, mereka merupakan kumpulan graduan terawal sewaktu institusi Latihan itu mula beroperasi pada 14 oktober 1957 dan majlis konvokesyennya yang pertama pada tahun 1964.

“Mereka yang kini berusia 77 hingga 83 tahun, merupakan graduan terawal yang lahir dari Dewan Latehan RIDA, Kampus Jalan Othman.

“Kehadiran Alumni terulung ini menjadikan Istiadat Konvokesyen pada kali ini, amatlah istimewa dan sangat bermakna untuk kami.

“Ini menandakan bukti sokongan mereka kepada UiTM dalam mengukuhkan semangat dan jati diri warga Universiti terhadap misinya menjuarai Bumiputera professional,” ujarnya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), pada Sabtu.

Beliau juga berharap  kehadiran mereka dapat memberi inspirasi kepada graduan UiTM generasi baharu dalam memperkasa kualiti standing dengan graduan yang lahir dari RIDA dan Institut Teknologi MARA (ITM).

Istiadat konvokesyen UiTM berlangsung sehingga 14 Disember ini melibatkan seramai 24,714 graduan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Pada sidang pertama istiadat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang merupakan Pro-Canselor UiTM menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang termasuk Sarjana Kepakaran Perubatan kepada 125 graduan.

Sebanyak 23 sidang akan berlangsung di kampus induk, UiTM Shah Alam dengan dengan penganugerahan kepada 22,907 graduan.

Istiadat akan melabuhkan tirai di UiTM Cawangan Sarawak yang akan berlangsung pada 13 hingga 14 Disember depan dengan jumlah graduan seramai 1,260 orang.