Sembilan individu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, tadi atas tuduhan menjalankan kegiatan gores dan menang di sebuah pasar raya besar di Ampang, Selasa lalu.

Mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 21 hingga 35 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mereka adalah Andy Ng Wee Ping, 27; Pua Kai Yang, 20; Chu Hui Xin, 20; Lau Kah Wing, 20; Rosmaliya Roslan, 21; Ng Yen Fong, 29; Lee Hsiao Lan, 35; Iye Chooi Fun, 22; dan Lutfiatul Hasanah Sawari, 21.

Mengikut kertas pertuduhan, semua orang kena saman (OKS) didapati membuat pernyataan palsu atau mengelirukan bahawa mana-mana orang yang memenangi, akan memenangi, sekiranya melakukan perbuatan tertentu, memenangi hadiah atau faedah lain yang setara sedangkan pada hakikatnya tiada hadiah disediakan sepertimana ditawarkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pasar raya besar berkenaan di Jalan Pandan Prima, Dataran Ampang pada jam 2.20 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 20 B Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21 B akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang juga bertindak sebagai jurujual boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 seorang dan 18 Julai ini ditetapkan tarikh sebutan semula kes.