Sembilan kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi dalam kejadian kira-kira 7.05 malam ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu namun seorang pemandu kenderaan nyaris tertimbus ketika cuba mengeluarkan keretanya jenis Honda City.

Menceritakan kejadian itu, seorang jurutera, M.Logeswaran, 28, berkata ketika tiba di lokasi kejadian kira-kira 7.45 malam, dia ternampak keretanya hanya tertimbus 40 peratus dan membuat keputusan untuk mengeluarkan kenderaannya bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.

"Semasa saya hendak mengalihkan kereta, tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dan nampak tanah runtuh di hadapan kereta, namun saya sempat melarikan diri ke kawasan selamat," katanya sambil menambah kereta tersebut baru dua bulan dibeli.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Rahman memaklumkan kejadian berkenaan menyebabkan sembilan kereta tertimbus penuh dan satu daripadanya rosak dihempap pokok.

Katanya tanah setinggi 25 meter runtuh membabitkan keluasan lebih 100 meter di sepanjang Jalan Ampang.
Dalam tinjauan Bernama di lokasi kejadian, setakat 11 malam ini, tanah masih runtuh secara perlahan akibat hujan lebat.