KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan pertambahan sembilan kes positif COVID-19 di negeri itu pada Sabtu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu meningkat kepada 751 kes setakat ini.

Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, lima kes melibatkan daerah Kuching manakala empat kes dikesan di daerah Bintulu.

“Ini melibatkan empat kes saringan kedua bagi mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi (Import B), empat kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dan satu kes melibatkan saringan sebelum masuk kerja,” kata Uggah.

Jelasnya, empat kes di Kuching melibatkan anggota keselamatan yang pulang dari Sabah selepas bertugas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Kes bersama anggota pasukan lain bertolak pada 25 September 2020 dan pulang ke Sarawak menggunakan penerbangan khas melalui Lapangan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Kuching pada 28 September 2020.

“Setibanya di Kuching, mereka diarah menjalani kuarantin 14 hari di PULAPOL dan kesemua kes ini telah menjalani ujian saringan pertama pada 29 September 2020 dan keputusannya negatif. Saringan ulangan hari ke-10 dilakukan pada 8 Oktober 2020 dan mereka disahkan positif COVID19 pada 10 Oktober 2020,” tambah Uggah.

Sementara itu satu kes lagi melibatkan seorang lelaki warganegara Indonesia yang membuat saringan sebelum masuk kerja di sebuah hospital swasta di Kuching yang disahkan positif pada 9 Oktober 2020.

Setakat ini, kes ini dikategorikan sebagai jangkitan tempatan kerana tiada rekod kemasukkan kes ini ke Sarawak.

Seterusnya empat kes positif terbaharu di Bintulu hari ini merupakan kes daripada kluster terbaharu iaitu kluster Taman Putrajaya.

Mereka merupakan kontak rapat kepada kes 733 yang telah dikesan hasil pengesanan kes secara aktif terhadap semua kontak kepada kes indeks ini.

Kesemua kes disaring pada 9 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR didapati positif pada hari yang sama.


Kes melibatkan seorang kerani sebuah syarikat insuran, dua kes melibatkan anak kepada kes indeks dan satu kes merupakan cucu saudara kepada kes indeks.

Kesemua kes ketika ini menerima rawatan di Hospital Bintulu dan pengesanan kontak masih giat dijalankan.