GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan sembilan individu termasuk enam warga asing dalam siri serbuan di sekitar negeri itu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM274,482 pada 2 hingga 6 Mei lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis melancarkan operasi terancang sebelum menjalankan serbuan dan berjaya menumpaskan sindiket itu yang didalangi warga asing.

"Polis pada mulanya menyerbu sebuah rumah di kawasan George Town, di sini pada 2.30 petang 2 Mei lepas dan menahan sepasang suami isteri iaitu lelaki warga tempatan dan isteri warga Vietnam masing-masing berumur 32 dan 34 tahun.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu, polis merampas 613.30 gram (g) methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), ketamin (10.8 g), syabu (1.59 g), 30 biji pil ekstasi dan 100 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM9,198," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam, di sini pada hari yang sama iaitu pada pukul 6 petang dan menahan sepasang suami isteri warga Vietnam berumur 40 dan 42 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah di situ.

Mohd Shuhaily berkata antara dadah yang dirampas ialah 490 biji pil ekstasi, pil Eramin 5 sebanyak 240 biji, syabu (421.89 g) dan ketamin seberat 48.12 g yang kesemuanya bernilai RM104,296.

Katanya, polis seterusnya menyerbu sebuah kedai mencuci kenderaan di Permatang Pauh, dekat sini dan menahan tiga lelaki warga Myanmar berumur 22 hingga 26 tahun dan merampas 45 peket lutsinar seberat 47,000 g di dalam stor di situ yang bernilai RM146,000 pada 5.05 petang 5 Mei.

"Tiga lelaki itu selain bekerja di situ mereka juga dipercayai berperanan menyimpan bekalan dadah milik sindiket tersebut sebelum mengedarnya untuk pasaran di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini," katanya.

Beliau berkata ekoran daripada penahanan mereka, polis kemudiannya menahan dua lelaki tempatan berumur 34 dan 46 tahun secara berasingan di Perai dan Butterworth pada 2 pagi 6 Mei dan merampas heroin 1,812 g yang bernilai RM14,988 daripada mereka.

Katanya, susulan penahanan tiga lelaki tempatan dan empat lelaki bersama dua wanita warga asing itu, polis turut menyita wang tunai, motosikal, kereta dan barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM96,324.

"Berdasarkan siasatan, sindiket itu menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lepas dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dan menambah semua dadah itu boleh digunakan oleh 99,235 penagih.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah dan semakan rekod lampau pula menunjukkan empat daripada semua suspek terdapat kes jenayah dan dadah.

-- BERNAMA