KUALA LUMPUR: Hampir 400 pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air semasa kemuncak penularan pandemik COVID-19 di Rusia September tahun lepas dapat menarik nafas lega dan gembira apabila mendapat khabar bahawa mereka boleh memulakan semula pengajian secara bersemuka di negara itu tidak lama lagi.

Para pelajar berkenaan mengambil pelbagai jurusan di beberapa universiti di Rusia yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Dua status di FB Kedutaan Rusia di Malaysia menggembirakan lebih 400 pelajar Malaysia yang menuntut di Rusia. - Foto kredit FB kedutaan Rusia di Malaysia

Dua status laman Facebook (FB) rasmi Persekutuan Rusia di Malaysia memaklumkan, soal kemasukan semula pelajar Malaysia ke negara itu sudah dipersetujui dan prosedur memproses visa pelajar kini sudah bermula sejak minggu lepas.

Bagaimanapun, laman FB itu turut maklumkan, disebabkan masih lagi tertakluk kepada beberapa sekatan pergerakan berikutan COVID-19, urusan dan prosedur untuk memproses visa pelajar hanya boleh dibuat menerusi janji temu.

“Sebelum ini, proses mendapatkan visa untuk masuk ke Rusia boleh dibuat secara "walk-in" sahaja, tetapi, tidak kali ini. Pelajar perlu menghubungi kedutaan atau emel kepada konsul untuk mendapatkan tarikh janji temu seterusnya memohon visa kemasukan ke Rusia,'' kata makluman FB kedutaan Rusia di Malaysia bertarikh 10 September itu.

Lebih setahun berada di Malaysia mengikuti pembelajaran secara dalam talian, Ahmad Ashraff Haiqal, pelajar perubatan Tahun Tiga VSMU tidak sabar masuk ke Rusia dan memulakan pengajian secara semuka tidak lama lagi. - Gambar Astro AWANI

Berita itu ternyata menggembirakan pelajar Tahun Tiga jurusan Perubatan di Volgograd State Medical University (VSMU), Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, yang tidak sabar memulakan semula pengajian secara bersemuka selepas lebih setahun belajar ilmu perubatan secara dalam talian di Malaysia.

Menurutnya, walaupun belajar secara dalam talian adalah norma baharu yang harus diadaptasi semua lapisan golongan ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, ianya dirasakan tidak begitu berkesan kepada pelajar yang mengambil bidang memerlukan kemahiran seperti perubatan dan kejuruteraan.

"Saya berasakan ada yang sedikit kurang apabila belajar secara dalam talian. Sebagai contoh, apabila pembelajaran subjek anatomy yang memerlukan seseorang pelajar itu ke makmal dan membuat ujian secara fizikal ke atas anggota badan manusia, tetapi tidak boleh dilakukan sebegitu apabila pendekatan secara dalam talian digunakan sejak setahun lepas.

"Selama lebih setahun, pelajar perubatan hanya mendengar syarahan, tetapi tidak membuatnya secara amali bagi subjek tertentu. Justeru itu, apabila kerajaan Rusia mengumumkan sudah mula menerima masuk pelajar Malaysia, ianya sesuatu yang menggembirakan dan sudah pasti saya teruja untuk memulakan semula pengajian secara bukan dalam talian (offline)," kata Ahmad Ashraff.

Beliau turut berharap dapat memasuki Rusia secepat mungkin memandangkan semester pertama Tahun 3 sudah memulakan sesinya awal bulan ini dan para pelajar akan memasuki fasa pra-klinikal pada Februari 2022.

Tambah Ahmad Ashraff, sejak awal lagi, beliau sudah mempersiapkan diri untuk masuk semula dan belajar secara bersemuka di Volgograd, Rusia nanti.

"Sebagai contoh, saya sudah menyediakan dokumen diperlukan, memastikan pasport tidak tamat tempoh, memohon invitation letter untuk memastikan proses masuk semula berjalan lancar. Namun yang lebih penting, saya sudah lengkap dua dos vaksin dan boleh mengembara pada bila-bila masa,'' ujar beliau.

Nur Anis Emilia Mohd Shukry, pelajar perubatan Tahun 3,  VSMU, Rusia. - Gambar Astro AWANI

Seorang lagi pelajar VSMU, Nur Anis Emelia Mohd Shukry mengakui teruja untuk bertemu rakan pelajar dari negara lain dan memulakan pengajian secara bersemuka tidak lama lagi berikutan makluman rasmi daripada kerajaan Rusia itu.

Paling penting katanya, jika pembelajaran dimulakan secara bersemuka, beliau boleh memperkuat dan memperkukuhkan kemahiran berbahasa Rusia. 

"Walaupun bahasa pengantar adalah bahasa Inggeris, tetapi penting untuk sering bertutur dalam bahasa tempatan memandangkan ianya salah satu bentuk survival ketika berada di Rusia. Namun, saya juga paling tunggu-tunggu untuk kembali semula ke makmal bagi subjek tertentu yang saya belajar pada semester ini.

"Sebagai contoh, pelajar Tahun Tiga sudah memulakan subjek Surgery, yang sudah pasti memerlukan pelajar perubatan menggunakan jarum dan peralatan semasa pembedahan. Jika pelajaran diikuti secara dalam talian, pengalaman ini cuma boleh dibaca di dalam buku sahaja, tanpa membuat sebarang amali,'' ujar beliau yang turut berharap dapat memasuki semula Rusia secepat mungkin.

VSMU merupakan lima universiti perubatan di Rusia yang diiktiraf kerajaan Malaysia. Selain VSMU, universiti lain yang ramai pelajar Malaysia ialah, Kursk State Medical University (KSMU); I.M Sechenov Medical Academy; Privolzky Research Medical University dan Second Moscow State University.

Pelajar jurusan perniagaan di University St Petersburg, Ikmal Nordin pula berkata, apa yang beliau gembira dengan pengumuman terbaharu kerajaan Rusia itu ialah kini beliau berpeluang bertemu secara bersemuka beberapa pensyarah bagi menyiapkan pengajiannya berbaki setahun lagi.

"Saya juga mahu dan berharap dapat graduasi secara fizikal di Rusia sebelum menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya,'' ujar Ikmal yang sudah memohon visa untuk masuk ke Rusia tidak lama lagi. 

Sebahagian pelajar perubatan Volgograd State Medical University (VSMU) gembira dengan pengumuman kerajaan Rusia membuka sempadan sekaligus membolehkan mereka belajar secara bersemuka tidak lama lagi. - Gambar Astro AWANI

Data daripada Kedutaan Malaysia di Moscow mendapati, daripada 887 warga Malaysia yang berada di negara itu, lebih 700 adalah pelajar yang menuntut pelbagai jurusan di pelbagai universiti diiktiraf di Rusia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia ke Rusia, Johan Ariff Abdul Razak berkata, semasa kemuncak COVID-19 di Rusia tahun lepas, hampir 500 pelajar pulang ke Malaysia, dengan sebahagian daripadanya turut selesai enam tahun pengajian dan tidak memerlukan masuk semula ke Rusia.

"Daripada jumlah itu, hampir 400 pelajar pulang secara berperingkat sama ada melalui penerbangan repatriasi yang kita usahakan atau menggunakan pesawat komersial selepas itu,'' kata beliau yang dihubungi Astro AWANI.
 
Berikutan kes COVID-19 yang tinggi, Rusia menutup sempadannya kepada kemasukan asing bermula Mei 2020 dan hanya membukanya secara berperingkat pada pertengahan tahun ini.

Walaupun kes di Rusia secara relatifnya menurun sejak akhir-akhir ini, negara itu pernah mencatatkan kes positif kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat pada April 2020.

Untuk rekod, Rusia sehingga kini mencatatkan kes jangkitan COVID-19 sebanyak 7 juta dengan melebihi 200,000 angka korban.