Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Singapura berhubung persempadanan maritim di kawasan Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat kelapan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) yang dijadualkan pada Oktober ini.

“Sehingga kini, tujuh mesyuarat MSJTC telah diadakan dalam proses perundingan pembatasan sempadan maritim di antara Batu Puteh dan Batuan Tengah. Mesyuarat kelapan dijangka akan berlangsung pada bulan Oktober tahun ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Proses perundingan ini telah tertunda sebelum ini berikutan terdapat beberapa percanggahan dalam rundingan antara kedua-dua negara dan kerana Malaysia telah mengemukakan semakan semula penghakiman kes ini kepada ICJ,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) yang bertanyakan berkenaan status rundingan isu persempadan maritim Malaysia-Singapura.

Malaysia dan Singapura menubuhkan MSJTC bagi melaksana penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes kedaulatan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2008.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah dan Tubir Selatan.