Semua 492 batang sungai yang terdapat di Negeri Sembilan berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pencemaran, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia diklasifikasikan bersih berdasarkan kualiti sumber air daripada sungai-sungai berkenaan.

"Sungai-sungai (492 batang sungai) ini dengan panjang keseluruhannya 3,769.8 km diklasifikasikan bersih sejak sekian lama. Jika dahulu kita dapati Sungai Linggi dan Sungai Sepang (sempadan Negeri Sembilan/Selangor) ada pencemaran, tetapi sejak kebelakangan ini tidak lagi.

"Ini kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memberikan perkhidmatan dan kepakaran teknikal bagi pengurusan sungai secara bersepadu dalam memastikan lembangan sungai di negeri ini diurus sempurna bagi keperluan pemeliharaan kuantiti dan kualiti sumber air," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Inovasi JPS Negeri Sembilan 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPS negeri Hayati Zainal.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kuantiti sumber air dengan memastikan kuantiti air sungai yang tercemar teruk dapat dipertingkatkan dari kelas IV dan V kepada IIB dan ini adalah salah satu strategi perancangan kerajaan dalam tempoh lima tahun ke arah merealisasikan hasrat JPS untuk menerajui bidang pengurusan sumber air negara.

Katanya pelbagai usaha dijalankan JPS dalam memastikan kualiti air sungai di negeri ini berada di tahap bersih.

"Sebagai contoh, sejak 2015 Sungai Temiang di Seremban diklasifikasikan sebagai sungai kelas IIB iaitu bersih. JPS sentiasa berusaha mengekalkan Sungai Temiang ini dalam keadaan bersih apabila setiap tahun jabatan itu mengada kerja-kerja pemeliharaan.

"Sungai Temiang sebelum ini agak tercemar kerana ia melalui Bandar Seremban dan salah satu sebab ia tercemar kerana pembuangan sisa sampah dari Pasar Besar Seremban serta premis kediaman dan kedai yang terdapat di sepanjang sungai berkenaan," katanya.

-- BERNAMA