Skip to main content

Malaysia

Perbicaraan kes bekas MB Perlis selesai, 21 orang saksi beri keterangan

Kuala Lumpur , 19 Jun 2026. bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan lima kes tuntuan palsu berjumlah lebih RM 1.18 juta.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Azlan hadir pada perbicaraan kesnya yang melibatkan 10 pertuduhan berkaitan tuntutan palsu dan penerimaan wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes membabitkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, yang berdepan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, selesai selepas seramai 21 saksi memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan bahawa saksi pembelaan ke-21, Mawar Awang yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Belanjawan Kementerian Pengajian Tinggi, adalah saksi terakhir dalam perbicaraan tersebut.

Beliau turut memaklumkan pihak pendakwaan tidak bercadang untuk menawarkan sebarang saksi tambahan kepada pihak pembelaan sekiranya mahkamah memutuskan Azlan, 67, perlu membela diri.

Sehubungan itu, Mahkamah juga menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis, manakala hujahan balas akan didengar pada 7 September.

Mahkamah juga menetapkan 1 Oktober depan bagi sesi klarifikasi dalam prosiding berkenaan.

Antara saksi yang tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Julai 2024 ialah bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd, Shafiei Ismail serta bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Norazlan Yahya.

Turut memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwardy Hashim dan Penolong Pegawai Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Safwan Arbangi.

Azlan didakwa atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kemudahan cuti ke luar negara bernilai lebih RM1.18 juta di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Tuntutan berkenaan melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois yang dikemukakan oleh Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Azlan turut berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara Februari 2014 hingga Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank Putrajaya dan sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau juga menghadapi lima pertuduhan pilihan kerana didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antara Februari 2014 hingga Disember 2017 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Must Watch Video

Advertisement