JOHOR BAHRU: Baki kira-kira 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 akan menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, senarai penuh nama guru telah diterima dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan semua guru menerima suntikan vaksin susulan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 September ini.

"KPM telah menghantar senarai guru-guru yang perlu disuntik dan kita telah buat keputusan memberi suntikan pada senarai nama yang diberikan oleh KPM kepada CITF ataupun KKM.

"Saya sendiri telah meneliti nama tersebut dan telah pun membuat permintaan pada CITF supaya kumpulan ini diberikan suntikan sebelum bulan September," katanya pada sidang media selepas meninjau program outreach vaksinasi bersama IJN di Dewan Semanggar, Kota Tinggi Johor.

Jelasnya, selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas serta pengawal keselamatan juga akan menerima suntikan vaksin bagi mencapai imuniti di kawasan sekolah.

Katanya, pihaknya juga sedang meneliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum bercadang untuk menjalankan vaksinasi terhadap pelajar berumur 18 tahun ke bawah.

Setakat ini, seramai 326,998 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala seramai 215, 999 orang guru telah lengkap menerima vaksin.