KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kali ini memberikan tumpuan kepada semua negeri dalam mendepani bencana yang dibawa musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA Datuk Khairul Shahril Idris berkata, persiapan dibuat dari peringkat teratas hingga ke tahap komuniti untuk dipersiapkan dengan aset dan kemahiran yang diperlukan.

Beliau mengakui sebelum ini terdapat kelemahan yang membawa kepada kegagalan koordinasi gerak kerja ketika banjir melanda Hulu Langat dan Shah Alam tahun lepas, dan kini katanya mereka sudah belajar daripada kesilapan lalu.

LAMAN KHAS BANJIR

“Berdasarkan pengalaman yang lepas, (kali ini) kita telah memberikan tumpuan kepada semua negeri untuk bersiap sedia menghadapi bencana banjir walaupun dari segi pengalaman yang lepas negeri-negeri berkenaan tidak begitu terkesan apabila berlakunya monsun timur laut.

“Dari segi keterlibatan, kita telah melakukan penambahbaikan dengan menurutsamakan penduduk setempat dari segi libat urus dan latih amal yang berkaitan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Dari segi persediaan infrastruktur katanya, NADMA sudah memastikan bahawa siren amaran berfungsi dengan baik dan jelas, pam-pam air juga sudah dipastikan berada dalam keadaan yang baik supaya paras air dapat dikawal dengan lebih teratur.

Di samping itu, pengurusan dan respon melibatkan agensi-agensi kerajaan juga ditambah baik dengan mengadakan lebih kerap sesi latihan, libat urus dan kursus-kursus menambah pengetahuan mereka yang terlibat secara langsung pengurusan di kawasan terkesan terutama sekali yang sebelum ini jarang atau tidak pernah dilanda bencana.

“Pegawai-pegawai daerah selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah juga diberi latih amal dan pemahaman yang lebih jitu.

“Begitu juga ketua-ketua polis daerah yang merupakan mereka yang bertanggungjawab mengetuai pos-pos kawalan tempat kejadian dan mengawal selia operasi-operasi menyelamat dan bantuan apabila berlaku sesuatu bencana di sesebuah kawasan,” katanya.

Semua negeri kini diberi tumpuan dalam persiapan mendepani banjir - NADMA