Pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Masyarakat Slabi Entungkuh di daerah Serian, kira-kira 70km dari sini ditutup pada pukul 10.15 pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata pusat pemindahan yang dibuka pada 27 Feb lepas itu merupakan yang terakhir ditutup sejak banjir melanda sekitar bahagian Kuching, Samarahan dan Serian pada 20 Feb lepas.

Beliau berkata 68 pusat pemindahan dibuka secara berperingkat sejak 20 Feb lepas, dan pusat di Slabi Entungkuh itu ditutup selepas 21 mangsa daripada lima keluarga di situ dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.

Menurutnya ketika ini di Kampung Koran, Serian, kira-kira 60km dari sini, terdapat 10 mangsa daripada dua keluarga masih berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara di balai raya kampung itu kerana kediaman mereka rosak akibat tanah runtuh.

Sementara itu, Siti Huzaimah menasihatkan orang ramai sekitar Kuching, Serian dan Samarahan supaya sentiasa berwaspada ekoran musim hujan yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.