Semua rakyat Malaysia terkandas di Sumatera disahkan selamat - Konsulat Jeneral

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan memaklumkan bahawa bantuan konsular sewajarnya akan diteruskan kepada rakyat negara ini yang terkesan akibat bencana itu. - Foto Facebook Consulate General of Malaysia in Medan
KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terkandas di beberapa kawasan banjir di Sibolga, Bukit Tinggi dan beberapa lokasi lain di Sumatera, Indonesia telah berjaya dihubungi dan disahkan selamat.
Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dalam satu hantaran di laman sosial Facebook pada Jumaat memaklumkan bahawa bantuan konsular sewajarnya akan diteruskan kepada rakyat negara ini yang terkesan akibat bencana itu.
"Konsulat Jeneral juga telah mengadakan lawatan konsular ke atas 135 pelajar Malaysia di Medan yang terjejas akibat banjir bagi meninjau kebajikan mereka dan mengagihkan bantuan makanan," menurut kenyataan itu.
Warganegara Malaysia yang berhajat untuk berkunjung ke kawasan terlibat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta menyemak status perjalanan dan tahap keselamatan dengan pihak ejen pelancongan atau pihak berkaitan sebelum melakukan perjalanan.
"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan menerusi talian telefon: +62 823-6164-6046 (24 jam) atau menerusi e-mel: [email protected]" katanya.
Menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, situasi semasa di kawasan yang dilaporkan terjejas mulai beransur pulih dan aktiviti masyarakat setempat khususnya di Kota Medan kembali normal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


