KUCHING: Kerajaan Pusat akan menilai semua tuntutan yang dibawa oleh Sarawak terutamanya yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan adil.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan bahawa hak-hak Sarawak akan terus dilindungi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, komitmen itu telah dizahirkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi penubuhan portfolio khusus di bawah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta penubuhan Majlis Khas mengenai MA63.

“Pada masa ini, Majlis Khas MA63 sedang meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak Sarawak, dengan beberapa kemajuan yang telah dicapai.

“Kerajaan PN mahu menambah baik hubungan persekutuan-negeri dengan bersandarkan pada asas lebih kukuh melalui pendekatan saling menghormati dan memahami,” katanya dalam ucapan pada Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini.

Tambah Muhyiddin, beberapa kemajuan yang telah dicapai melalui peranan tiga jawatankuasa kerja yang mengesyorkan cadangan penyelesaian kepada majlis khas MA63.

Katanya, ini dilakukan selaras dengan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, pembangunan industri dan pasaran eksport di Sarawak dijangka terus berkembang pesat secara berperingkat.

Ujar beliau, peningkatan positif dalam industri itu dapat dicapai dengan kerjasama erat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerajaan negeri.

Selain itu, kerajaan juga merumuskan pelan 10 tahun bagi memastikan negara ini mencapai wawasan kemakmuran bersama.

Katanya, sebagai permulaan pelan itu berusaha untuk memastikan setiap negeri di Malaysia fokus dalam membangunkan ekonomi pasca COVID-19.

"Komitmen Kerajaan Pusat terhadap usaha ini adalah total supaya tiada kepincangan yang ketara antara satu wilayah dengan wilayah lain atau antara bandar dan luar bandar," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan atas komitmen Muhyiddin memperjuangkan hak Sarawak.

Katanya, ia termasuk isu berkaitan petroleum serta gas selain penubuhan portfolio khas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.