SUNGAI PETANI: Senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan.

"Tunggu pengumuman, kalau saya umum hari ini sudah tidak suspen, dalam minggu ini saya akan umumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, di sini pada Isnin.



Jangan percaya senarai nama Kabinet yang keluar - PM

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai senarai jemaah menteri yang disebarkan menerusi sosial media.

"Itu semua fake (palsu), setiap hari ada senarai baharu... bagus juga boleh bantu saya tetapi saya nak ingatkan jangan percaya, semua itu tak betul," katanya lagi.

Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu susulan penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Tumpuan negara kini tertumpu kepada jemaah Kabinet yang akan diumumkan Ismail Sabri selepas menjawat jawatan Perdana Menteri.