KUALA LUMPUR:Selepas UMNO dilaporkan akan mempertimbangkan menarik sokongan dari Perikatan Nasional (PN), dan akan memberi syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik, tular di media sosial mengenai rombakan Kabinet.

Mengikut dokumen yang didakwa mengandungi senarai kabinet baharu itu, senarai akan diumumkan pada hari Isnin, 19 Oktober, 3.30 petang.

Dalam senarai itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi kali ini kononnya akan mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS).

Menteri Kewangan sedia ada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut didakwa akan digugurkan, dan digantikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di atas tiket Senator, manakala Menteri Kewangan Dua ialah Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Selain itu, senarai itu mendakwa jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri akan disandang Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Azmin bagaimanapun diberikan porfolio Menteri Pendidikan, menggantikan Dr Radzi Jidin yang namanya tiada dalam senarai yang tular itu.



Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dikatakan kekal sebagai Menteri Pertahanan, manakala Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof kekal sebagai Menteri Kerja Raya.

Selain itu Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut kekal sebagai Menteri Pengangkutan dan Tuan Ibrahim, selain jawatan TPM, terus kekal memegang portfolio Alam Sekitar Dan Air.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, Ketua Wanita Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun, dan Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad pula masih kekal dengan portfolio masing-masing iaitu Menteri Sumber Manusia, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Menteri Pengajian Tinggi.

BACA: Sokong Anwar: UMNO harap rakyat tidak terpedaya dengan surat palsu

BACA: UMNO pertimbang tarik diri daripada menyokong PN

BACA: Akuan bersumpah dakwa Maszlee sokong Anwar tular

Dalam pada itu, Ahmad Zahid, selain jawatan TPM, turut tersenarai sebagai Menteri Dalam Negeri, didakwa akan menggantikan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang diberikan portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Manakala Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar menggantikan Datuk Seri Saifuddin sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia. Saifuddin diberikan portfolio Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

Tambah senarai itu lagi, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee masih kekal dengan portfolio Pertanian dan Industri Makanan, tetapi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menggantikan Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Zuraida pula, dalam senarai tersebut diberi portfolio Menteri Wilayah Persekutuan, manakala penyandangnya kini Tan Sri Annuar Musa dipilih menjadi Menteri Sukan dan Temasya Antarabangsa.



Turut menarik perhatian ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang kononnya akan menjadi Menteri Luar Negeri, menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Nama Hishammuddin tidak tersenarai dalam dokumen berkenaan.

Turut tidak tersenarai ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, yang digantikan oleh Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Portfolio Abd Latiff sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, bakal dipegang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu, senarai tersebut menyebut kemasukan semula bekas menteri dan timbalan menteri dalam kabinet sebelum ini, iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Mohamed Nazri tersenarai sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Perhubungan Antarabangsa), Rohani sebagai Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), dan Tajuddin sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Presiden Parti Demokratik Progresif Datuk Seri Tiong King Sing, yang sebelum ini menolak tawaran Muhyiddin untuk menjadi Timbalan  Menteri Perpaduan Negara, tersenarai sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Datuk Seri Nancy Shukri dari GPS terus kekal dengan portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya.

Dua lagi yang tersenarai sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Undang-undang), dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Hal Ehwal Agama).

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan kepimpinan Perikatan Nasional memaklumkan, senarai yang tular ini adalah palsu.