KOTA KINABALU: "Sentiasa berkasih sayang dalam berkeluarga dan dengan masyarakat".

Demikian pesanan yang kerap disampaikan Allayarham Tun Sakaran Dandai kepada anak-anaknya, kata anak Allahyaram Datuk Seri Nasir Sakaran.

Jelasnya, mereka sekeluarga akan terus memegang serta meneruskan segala pesanan yang diberikan oleh bapa tercinta.

"Allahyarham kerap berpesan kepada kami anak-anaknya supaya sentiasa berkasih sayang di dalam berkeluarga dan dalam bermasyarakat. Jadi itulah yang menjadi pegangan kepada kita.

"Insya-Allah kita akan teruskan ini segala amanat dan pesanan beliau," katanya.

BACA: Tun Sakaran meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19

BACA: Jenazah Allayarham Tun Sakaran selamat dikebumikan


Belasungkawa | Tun Sakaran Dandai meninggal dunia

Menurut Nasir, Allahyarham merupakan bapa dan pemimpin yang penuh dengan sifat kasih sayang kepada orang-orang di sekelilingnya.

Katanya, walaupun memegang jawatan penting sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, beliau tidak pernah lupa untuk mencurahkan bakti serta membimbing anak-anaknya.

"Sebenarnya sebagai anak kepada Allayarham, memang banyak yang kami pelajari daripada beliau terutama sekali bimbingan yang diberikan kepada kami anak-anak bukan hanya bersifat hanya kasih sayang, tapi bimbingan kepada ilmu pengetahuan terutama sekali soal agama dan akademik

"Walaupun beliau seorang yang sibuk dengan tugas semasa berkhidmat sebagai ahli politik sehinggalah ke Yang Dipertua Negeri, tetapi beliau sentiasa mengambil perhatian kepada kami anak-anak juga cucu-cucu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara pengebumian Allayarham di Makam Pahlawan di Masjid Negeri, di sini, pada Isnin.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dilapor meninggal dunia sekitar jam 6 pagi tadi akibat jangkitan COVID-19.

Terdahulu, Sakaran, 91 tahun, dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Gleneagle Kota Kinabalu sejak 18 Ogos lalu selepas dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, keadaan beliau dikatakan mula menunjukkan perkembangan positif selepas itu sebelum dilaporkan meninggal dunia pagi ini.

Sakaran, yang berasal dari Semporna, telah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 bermula 1 Januari 1995 hingga 31 Disember 2002.

Beliau sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 pada 1994.