MERLIMAU: Mengutamakan kelancaran urusan mengundi, seorang pengundi orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda hadir seawal 7.35 pagi di Sekolah Kebangsaan Merlimau, sekali gus menjadi pengundi pertama di pusat mengundi berkenaan.
Hafizal Amiruddin, 49, berkata keputusan hadir awal dibuat bagi mengelakkan kesukaran sekiranya jumlah pengundi semakin ramai menjelang waktu tengah hari.
Menurutnya, kehadiran awal membolehkan beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan lebih mudah dan selesa.
“Semua senang. Kalau lewat-lewat, payah pula,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di sini, hari ini.
Hafizal yang mengalami kecederaan patah kaki akibat kemalangan pada 2021 berkata, beliau menggunakan kerusi roda sejak kejadian itu.
Bagaimanapun, keadaan fizikalnya tidak menghalang beliau untuk terus menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN kali ini.
Beliau hadir bersama ibunya, dan dibantu pegawai SPR menguruskan pergerakan menggunakan kerusi roda untuk ke pusat mengundi itu.
Pada PRN Melaka kali ini, DUN Merlimau mempunyai seramai 19,759 pemilih berdaftar dengan 35 saluran mengundi dibuka bagi proses pengundian hari ini.