NATIONAL
Seorang maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Pasir Gudang

Seorang lelaki berusia 24 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kota Masai 2, menuju ke Taman Kota Masai, Pasir Gudang, pada Isnin. - Gambar hiasan
PASIR GUDANG: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kota Masai 2, menuju ke Taman Kota Masai, di sini, pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner, Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2.30 petang membabitkan motosikal jenis Yamaha LC 135 dan dua buah kenderaan jenis Proton Saga dan Proton Axia.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai berdepan situasi mengejut akibat tindakan seorang pemandu kereta.
"Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu kenderaan jenis Proton Saga, seorang perempuan warga tempatan berumur 41 tahun, telah menekan brek secara mengejut."Mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri belakang kenderaan jenis Proton Saga dan menyebabkan kereta itu terlajak ke hadapan sebelum melanggar belakang kereta Perodua Axia yang berada di hadapan." katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Menurut Mohd Sohaimi, akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa yang terjatuh di atas jalan di sebelah lorong kiri telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) akta pengangkutan jalan 1987.
"Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berjaga-jaga dan serius dalam pemanduan.
"Patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, sebarang maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis 07-3864222," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami