KUALA LUMPUR:Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru semua pihak mendoakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang segera pulih selepas dimasukkan ke hospital malam tadi.

Menurutnya, beliau bersyukur mendapat perkhabaran Ahli Parlimen Marang itu kini berada dalam keadaan stabil dan mendapat perkhidmatan rawatan yang terbaik.

Abdul Hadi dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada Isnin malam selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, beliau mengenali Abdul Hadi yang dipanggil Tuan Guru itu sebagai seorang pejuang yang tabah.

BACA: Hadi Awang dimasukkan ke hospital selepas sesak nafas

“Saya juga mengenali beliau sebagai murabbi ummah yang tuntas dalam pembangunan umat demi menyemarakkan syiar Islam.

“Peranan beliau dalam pembentukan PN adalah amat signifikan khususnya untuk menggembleng persefahaman bagi menjamin kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau turut mendoakan Abdul Hadi senantiasa berada dalam lindungan Allah, dikurniakan kesembuhan yang secepatnya dan diberikan kesihatan untuk memimpin umat.

BACA: Pemuda Pas diminta solat hajat, doakan kesihatan Abdul Hadi

Malam tadi, tular berita yang Abdul Hadi telah dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya pada jam 7.50 petang.

Kenyataan itu memetik doktor yang memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi stabil walaupun jantung beliau lemah, mungkin akibat kepenatan.

Kata kenyataan itu juga, Abdul Hadi dibawa ke IJN dengan ambulans pada jam 9.25 malam.

Begitupun, keadaan Abdul Hadi semakin baik dan sudah boleh bercakap.

Setiausaha Politiknya Syahir Sulaiman berkata, Abdul Hadi juga memberitahu akan memaklumkan situasinya dari masa ke semasa.

BACA: Tuan Guru semakin pulih, boleh bercakap, bergurau - Setiausaha Politik Hadi Awang