KAJANG: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti separuh daripada 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagih dadah berjaya bertukar status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) setakat November tahun lepas.

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata sebanyak 77 KBT atau 99 peratus telah mencapai status hijau dan bertukar status kepada KBR tahun ini, berbanding 39 KBT pada 2022 dengan 16 daripadanya diserahkan kepada komuniti untuk tujuan pengekalan KBR.

"AADK yakin dan meletakkan sasaran untuk menukar status KBT di 117 kawasan melibatkan 39 KBT semasa manakala 78 KBT lagi pengekalan bagi memastikan semua kawasan 'panas' atau hotspot itu kekal status KBR pada 2024," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, Sutekno berkata penggunaan teknologi terkini termasuk percetakan tiga dimensi (3D), Internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai ancaman dalam penghasilan serta pengambilan dadah dengan lebih meluas.

Beliau berkata ini berdasarkan pandangan penyelidik dan pakar ketika Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2023 pada Oktober tahun lepas yang berpendapat cabaran ancaman dadah dalam era Industri Revolusi 4.0 amat besar, sekali gus memberi impak terhadap penghasilan dadah dengan akses meluas merentasi sempadan negara.

"Penggunaan teknologi itu membolehkan ia diambil kesempatan oleh pembekal bagi mengedar dadah dalam kalangan penagih secara meluas. Kami bimbang teknologi ini digunakan oleh pembekal untuk mengedar dadah menerusi pesanan diterima secara dalam talian di telefon pintar.

"Saya kira ini adalah antara cabaran yang perlu dilihat dengan serius oleh semua pihak dan AADK menyarankan agar kerajaan mengambil inisiatif untuk memperkasakan penggunaan teknologi seperti AI dan percetakan 3D dalam memantau dan mengawal permasalahan dadah di semua peringkat," katanya.

Selain itu, beliau berkata semua agensi kerajaan khususnya pemegang taruh harus meningkatkan kapasiti dan kesediaan dalam kalangan pihak berkuasa dan masyarakat bagi menghadapi evolusi cabaran penyalahgunaan dadah di era Industri Revolusi 4.0.

Mengulas mengenai perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan Bergerak (MRT) AADK yang mula diperkenalkan sejak 2021, Sutekno berkata MRT AADK terus diperhebat dengan memperluaskan capaian akses kepada mereka yang sukar mendapat akses perkhidmatan AADK.

Beliau berkata sehingga Disember lepas, MRT ADDK melepasi sasaran dengan jumlah klien sebanyak 8,814 orang, iaitu peningkatan sebanyak 57 peratus capaian perkhidmatan MRT di seluruh negara berbanding 3,444 klien pada 2022.

"AADK mengorak langkah memperkemas perkhidmatan rawat pulih melalui platform bergerak di luar ketetapan AADK iaitu MRT AADK dengan sasaran 3,800 klien pada 2023. Alhamdulillah, perkhidmatan MRT AADK telah menarik minat klien atas dasar kepercayaan klien sendiri, pakej baharu yang diperkenalkan serta mudah diakses," katanya.

Menurutnya, MRT AADK bukan sahaja dimanfaat oleh klien AADK yang berada di daerah dan institusi malah merangkumi Jabatan Penjara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui kolaborasi rakan strategik.

-- BERNAMA