SHAH ALAM: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai individu pemastautin yang mempunyai pendapatan perniagaan agar mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2021 mereka selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Julai 2022 melalui kaedah e-Filing.

LHDN dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, sehingga 31 Mei 2022, penerimaan Borang Nyata Cukai TT 2021 bagi pembayar cukai yang menjalankan perniagaan adalah sebanyak 166,869, yang mana sebanyak 165,673 diterima melalui kaedah e-Filing dan 1,196 melalui borang kertas (manual).

“Pembayar cukai adalah disarankan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar borang dan kenaikan lewat bayar cukai.

“Pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar sentiasa menjadi keutamaan LHDN dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, bagi membantu LHDN memproses setiap bayaran balik cukai terlebih bayar dengan lancar, adalah dinasihatkan agar semua pembayar cukai mengisi maklumat yang tepat serta terkini dalam Borang Nyata Cukai mereka,” menurut kenyataan itu.

LHDN menjelaskan, sebagai panduan berkenaan pengemukaan Borang Nyata Cukai ini, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. -Sinar Harian