PUTRAJAYA: Sejumlah 20.1 juta atau 61.5 peratus penduduk telah dibanci dalam Banci Malaysia 2020 setakat ini berbanding anggaran 32.7 juta penduduk tahun lepas, kata Pesuruhjaya Banci Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata 50.8 peratus atau 10.2 juta yang dibanci ialah lelaki manakala 49.2 peratus atau 9.9 juta ialah perempuan.

"Dari segi Tempat Kediaman (TK) pula, sebanyak 7.1 juta atau 78.9 peratus daripada 9.0 juta anggaran TK telah diliputi dalam Banci Malaysia," katanya dalam Facebook Live @mycensus2020 hari ini.

Menurutnya 5.4 juta atau 66.0 peratus daripada 8.2 juta Isi Rumah telah selesai menjawab soalan Banci, dan dari segi statistik mengikut etnik pula, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 71.1 peratus diikuti oleh etnik Cina (21.9 peratus), India (6.2 peratus) dan Lain-lain (0.7 peratus).

Dari segi kumpulan umur pula, beliau berkata dapatan daripada 20.1 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.3 peratus adalah dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas, 69.7 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 23.9 peratus di kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

"Penduduk Umur Bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Pulau Pinang sebanyak 74.2 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatatkan peratusan umur muda (0 hingga 14 tahun) tertinggi iaitu 36.5 peratus," katanya.

Susulan penangguhan Banci Malaysia 2020 secara bersemuka, Mohd Uzir menggesa orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci untuk memberikan kerjasama dengan mengisi maklumat melalui e-Census atau sistem panggilan telefon Computer Assisted Telephone Interview (CATI).

Beliau berkata setakat ini penduduk Malaysia yang menyelesaikan Banci menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI) (59.9 peratus) diikuti oleh e-Census (35.4 peratus), Paper and Pen Interview (PAPI) (4.3 peratus) serta CATI dan Drop Off and Pick Up (DOPU) masing-masing di bawah satu peratus.

Sebarang isu berkaitan dengan pengisian e-Census boleh dipanjangkan dengan menghubungi Hotline MyCensus 2020 di talian 1-800-88-7720 atau E-mel di [email protected] atau WhatsApp di 013-772 2020 atau di platform [email protected].