Seramai 22,608 dari 185,082 murid darjah lima yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPPK) di seluruh negara pada 30 Sept hingga 3 Okt lepas memperolehi agregat 8A.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata jumlah ini menurun berbanding pada tahun lepas iaitu seramai 24,962 murid.

"Faktor penurunan ini kerana pertambahan bilangan murid hampir 4,000 yang menduduki peperiksaan tersebut dan perkara ini tidak membimbangkan," katanya dalam sidang media semasa mengumumkan keputusan itu di pejabatnya di sini pada Isnin.

Othman berkata secara keseluruhannya seramai 185,080 murid atau 99.999 peratus lulus manakala dua murid mendapat keputusan 8D.

Beliau berkata tiga negeri yang mendapat agrerat 8A tertinggi mengikut peratusan ialah Sabah iaitu 22.85 peratus dari 5,672 murid, Melaka (20.19 peratus dari 7,015 pelajar) dan Terengganu (19.11 peratus dari 17,799 pelajar).

Sementara negeri yang mencatatkan keputusan 8A paling tinggi berdasarkan jumlah pelajar paling ramai ialah Kelantan (3,893 daripada 30,639), Terengganu (3,450 daripada 17,799) serta Johor (2,735 daripada 29,243), kata Othman.

Beliau berkata 13 buah negeri mencapai kelulusan 100 peratus manakala sebuah lagi negeri iaitu Perak mendapat kelulusan 99 peratus.

Bagi kelulusan mengikut mata pelajaran pula, mata pelajaran Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat mencatatkan kadar lulus yang tertinggi iaitu 99 peratus, diikuti bidang Al-Quran mencapai 98 peratus.

"Ini menjadi penanda aras kepada kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian," katanya.

Dalam peperiksaan UPPK, setiap murid darjah lima akan dinilai berdasarkan lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, PCHI, Bidang Al-Quran, Sirah, Adab Islamiyah, Pelajaran Jawi, Ulum Syariah (Ibadah/Akidah) dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Othman berkata, untuk tahun ini JAKIM menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membiayai kos pembelian Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk Kelas Kafa.

"Bagi memastikan kaedah penyampaian ilmu lebih baik dan berkesan JAKIM juga telah mengadakan kursus-kursus pengajaran dan pembelajaran kepada 32,000 guru-guru Kafa secara berkala di setiap negeri," katanya.

Beliau berkata JAKIM juga telah bersetuju untuk menubuhkan tabung kebajikan Kafa dan sedang memperhalusi kertas kerja penubuhannya supaya menepati piawaian dari sudut perundangan negara.

JAKIM juga telah mengenal pasti seramai 80 dari 300 penyelia Kafa yang layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat kepada pembantu Hal Ehwal Islam Gred S22 secara Khas Untuk Penyandang (KUP), katanya.