KUALA LUMPUR: Insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor hari ini yang mengorbankan dua anggota polis jelas menunjukkan bahawa kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) masih lagi mempunyai akar umbi, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Professor Datuk Muhammad Nur Manuty.

Menurut beliau, insiden tersebut juga harus dijadikan sebagai pengajaran bahawa radikalisme yang membawa penggunaan senjata adalah sebahagian daripada ideologi Khawarij.

Katanya, pengajaran Khawarij adalah satu kelompok 'ekstremis' Islam yang wujud di peringkat awal dalam sejarah Islam di mana pengikutnya bersifat ganas sehinggakan mampu membunuh sesiapa sahaja atas alasan ia adalah 'jalan pintas' untuk masuk ke syurga.

"...elemen-elemen Khawarij ini merupakan satu 'extension' atau tambahan kepada budaya takfir yang membawa kepada pengunaan senjata ataupun terorisme, ataupun istillah arabnya ialah Al-Irhabiyun.

"Mereka mengambil satu pendekatan teologi mudah dan ganas iaitu segera mentafsirkan individu ataupun sesiapa yang memerintah negara sebagai jalan pintas untuk masuk ke syurga.

"Saya menyatakan yakin bahawa saki-bakinya masih hidup dan mempunyai rantaian di Asia Tenggara ini dengan Jemaah Islamiyah di negara-negara jiran kita," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Kata Muhammad Nur, pengalamannya ke Singapura di mana beliau sempat berjumpa dengan individu-individu yang berada dalam kelompok JI di penjara, jelas menguatkan lagi bahawa jemaah ini masih berakar umbi kerana menurutnya, ada segelintir daripada tahanan itu memeluk semula pengajaran (JI) itu.

"Tetapi apa yang berlaku (terhadap anggota polis di Ulu Tiram) hari ini menunjukkan bahawa banyak ibrah (pengajaran) yang patut diambil untuk menyekat supaya ia tidak merebak luas dalam masyarakat yang boleh mengancam rakyat dan negara Malaysia di mana ia turut boleh memberi imej yang buruk dan mempengaruhi kedudukan ekonomi, keselamatan, dan kestabilan politik negara.

"Saya yakin (yang) saki-baki itu masih ada dan ini menunjukkan bahawa pendekatan bersepadu amat diperlukan untuk memberitahu kepada rakyat Islam khususnya bahawa pendekatan radikal dan Khawarij adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam... bukan mengikut kehendak Al-Quran, Sirah dan juga pegangan sahabat serta ulama-ulama," ujarnya.

Beliau turut berharap agar masyarakat diingatkan tentang bagaimana proses jihad yang sebenar dalam Islam dan apa sebenarnya yang diperlukan untuk seorang mukmin masuk ke syurga dan kenapa budaya takfir ini ditentang.

Dalam kejadian pagi tadi, dua anggota polis terkorban manakala seorang lagi cedera parah dalam serangan membabitkan suspek lelaki yang menceroboh masuk ke dalam Balai Polis Ulu Tiram, di Johor Bahru.

Suspek kemudian berjaya ditembak mati.