KUALA LUMPUR: Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) meminta pihak berkuasa mempercepatkan siasatan dan menangkap mereka yang bertanggungjawab dalam insiden serangan ke atas sebuah rangkaian kedai serbaneka, baru-baru ini.

MRA dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa mesti dibenarkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

"Kami percaya bahawa tindakan pantas dan tegas oleh pihak berkuasa adalah penting dalam memastikan undang-undang dan ketenteraman serta mengekalkan keyakinan dan keselamatan awam.

"Sebagai sebuah persatuan yang mewakili industri runcit di Malaysia, kami kekal komited untuk mempromosikan keamanan, keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat kita.

"Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu menentang keganasan dan bekerjasama ke arah membina sebuah negara yang lebih selamat dan inklusif untuk semua," katanya.

Dalam kejadian terbaharu, sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap di Kuantan dibaling molotov cocktail oleh individu tidak dikenali hingga berlaku kebakaran kecil di pintu masuknya.

Ia menyusul empat hari selepas sebuah cawangan kedai serbaneka yang sama di Bidor dibaling dengan bom petrol, kira-kira jam 5 pagi.