Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Kualiti udara di 20 kawasan tidak sihat, Serian catat bacaan IPU tertinggi

SERIAN, 4 Sept - Keadaan berjerebu yang dirakam di Jalan Serian-Sri Aman, hari ini. Daerah Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 518 setakat 10 pagi ini, sekali gus berada pada tahap sangat berbahaya akibat jerebu rentas sempadan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Berdasarkan data terkini, Sarawak merupakan negeri paling terjejas dengan Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi pada paras 171, diikuti Kuching (170). -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di negara ini semakin membimbangkan apabila sebanyak 20 kawasan di seluruh Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 11 pagi ini.

Berdasarkan data terkini, Sarawak merupakan negeri paling terjejas dengan Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi pada paras 171, diikuti Kuching (170).

Kawasan lain di Sarawak yang turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat ialah Sri Aman (164), Samarahan (163), Sibu (157), Sarikei (151), Bintulu (121) dan Kapit (107).

Di Semenanjung, Seri Manjung, Perak merekodkan bacaan tertinggi pada paras 163, diikuti Shah Alam, Selangor (156) dan Larkin, Johor (153).

Kawasan di Lembah Klang turut mencatatkan bacaan tidak sihat apabila Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur masing-masing merekodkan bacaan 152, manakala Putrajaya berada pada paras 151.

Lokasi lain yang berada dalam kategori tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan (144), Pasir Gudang, Johor (130), Johan Setia, Selangor (118), Bukit Rambai, Melaka (115), Petaling Jaya, Selangor (109) dan Tangkak, Johor (102).

Sementara itu, 38 stesen pemantauan di seluruh negara mencatatkan bacaan sederhana, antaranya Bandaraya Melaka (97), Batu Pahat (96), Klang (92) dan Seremban (89).

Tanjung Malim di Perak serta Tawau di Sabah masing-masing merekodkan bacaan 100, iaitu pada had tertinggi kategori sederhana sebelum memasuki tahap tidak sihat.

Sebaliknya, kualiti udara baik hanya direkodkan di sembilan lokasi, kebanyakannya di utara Semenanjung. Langkawi mencatatkan bacaan terendah iaitu 14, diikuti Kangar, Perlis pada paras 18.

Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka jika perlu serta memperbanyakkan pengambilan air bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat keadaan berjerebu.

Must Watch Video

Advertisement