MENLO PARK: Meta secara rasmi melancarkan perkhidmatan langganan bersepadu baharu dikenali sebagai Meta One, yang menawarkan pelbagai ciri eksklusif kepada pengguna platform digitalnya di seluruh dunia, lapor Amanz.
Perkhidmatan premium itu ditawarkan menerusi pelan produk tunggal atau secara pakej, membabitkan aplikasi Facebook, Instagram, WhatsApp serta Meta AI.
Menerusi struktur langganan tersebut, pelanggan akan menikmati akses kepada lebih 50 ciri eksklusif yang tidak ditawarkan kepada pengguna versi percuma, meskipun Meta menegaskan fungsi asas aplikasinya akan terus disediakan tanpa bayaran.
Bagi platform Facebook, pelanggan diberikan akses kepada pilihan penyesuaian Messenger, analitik Reels yang lebih mendalam serta fungsi ekspresi "super reactions".
Sementara itu, pengguna Instagram boleh mengakses statistik Reels yang lebih terperinci selain fungsi reka huruf tersuai, pilihan kreatif tambahan dan ciri Restyle berasaskan kecerdasan buatan.
Bagi WhatsApp pula, langganan itu menyediakan pelbagai pilihan penyesuaian termasuk pelekat eksklusif, tema visual, ikon khas serta fungsi pengurusan sembang yang dipertingkatkan.
Melalui integrasi Meta AI, pelanggan turut menerima keutamaan penggunaan sumber pengkomputeran bagi menjana teks, imej dan video menggunakan model Muse, sekali gus membolehkan penggunaan ciri AI pada kapasiti yang lebih tinggi.
Meta One menawarkan beberapa kategori langganan yang disesuaikan mengikut keperluan pengguna, bermula dengan pelan produk tunggal seperti Instagram Plus, Facebook Plus dan WhatsApp Plus, diikuti berkas Core dan Premium serta pakej khusus untuk pencipta kandungan dan perniagaan iaitu Essential, Advanced, Expert dan Max.
Di pasaran global, harga langganan bermula daripada AS$2.99 (kira-kira RM13) sebulan bagi WhatsApp Plus dan AS$7.99 (kira-kira RM34) bagi pelan Core, manakala pakej perniagaan tertinggi, Meta One Max, berharga AS$499 (kira-kira RM2,120) sebulan.
Meta bagaimanapun belum mengumumkan harga rasmi dalam mata wang tempatan bagi pasaran Malaysia.