Pada 17 Mei lalu, genaplah setahun pelantikan rasmi saya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan keutamaan menyelesaikan ‘tugas yang belum selesai’.

Setelah setahun sembilan bulan meninggalkan SPRM, langkah pertama saya kembali ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika itu turut diiringi dengan 1001 harapan, baik daripada masyarakat luar mahu pun pegawai SPRM sendiri. Suatu amanah yang cukup berat untuk dipikul bersendirian.

Harapan utama rakyat pasca pilihan raya ketika itu ialah bagi membersihkan Malaysia yang sudah terpalit dengan skandal rasuah mega serta pelbagai lagi penyelewengan dan salah guna kuasa.

Sebaik sahaja saya menjejak kaki ke Ibu Pejabat SPRM, saya memberi fokus kepada dua isu penting. Pertama menyelesaikan masalah dalaman pegawai SPRM dengan menyatu semua pegawai supaya bersatu hati, bersama-sama bekerja keras melaksanakan amanah mencegah rasuah dan salah guna kuasa demi negara.

Dalam perhimpunan pertama bersama pegawai-pegawai SPRM, saya nasihati mereka agar tidak mewujudkan budaya berpuak-puak serta membodek dan yang paling utama ialah menjaga solat bagi yang beragama Islam. Saya menekankan prinsip semua pegawai perlu menjaga disiplin sama ada semasa atau di luar tugas.

Besar tanggungjawab Mohd Shukri untuk kembalikan imej negara bebas rasuah. - Foto Bernama

Kedua, menyelesaikan tugas saya yang belum sempat disiapkan semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM iaitu menyelesaikan dua kes berprofil tinggi, SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Alhamdulillah, enam bulan pertama selepas kemasukkan saya, kesungguhan semua peringkat pegawai SPRM telah membuahkan hasil kerana berjaya menyelesaikan dua kes utama iaitu SRC International dan 1MDB. Di samping menyiapkan dua kes utama ini, SPRM juga berjaya menyiasat dan menyiapkan banyak kes besar lain yang melibatkan ramai golongan VVIP dan melibatkan rasuah dan penyelewengan bernilai berbilion ringgit.

Pertama kali dalam sejarah, pada tahun semasa tersebut, SPRM telah menangkap seramai 30 ahli politik berprofail tinggi, 13 orang pengurusan tertinggi kerajaan, 20 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta 132 individu daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Pada masa yang sama, SPRM telah berjaya menyita wang dan harta bernilai RM3 bilion yang disyaki hasil daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Besar tanggungjawab Mohd Shukri untuk kembalikan imej negara bebas rasuah. - Foto Bernama

Atas kejayaan ini, SPRM telah dianugerahkan oleh Global Investigation Review (GIR) yang berpengkalan di Washington, Amerika Syarikat sebagai ‘The Most Emerging Enforcement for 2018’. Ini merupakan pengiktirafan tertinggi kepada SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini daripada masyarakat antarabangsa.

Ia adalah catatan sejarah besar dalam liku-liku perjuangan SPRM sepanjang tempoh lebih lima dekad.

Malah, satu lagi sejarah tercipta apabila peratusan kadar sabitan mahkamah bagi kes-kes rasuah dan salah guna kuasa pada tahun tersebut juga mencatatkan angka paling tinggi iaitu 91 peratus. Secara tidak langsung, ia memberi petanda baik kerana masyarakat akan gerun dikenakan tindakan sekiranya mereka terlibat dengan jenayah tersebut.

Di samping itu juga, bagi sektor pencegahan, SPRM juga telah menganjurkan sebanyak 1096 program pencegahan rasuah sepanjang 2018. Satu jumlah yang besar.

Namun begitu, saya juga akur bahawa pegawai-pegawai SPRM bukanlah ahli silap mata yang mampu menghilangkan sesuatu sekelip mata sahaja. Rasuah yang sudah lama menular dalam kalangan masyarakat memang masih belum menemui titik noktahnya.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan (kiri) disambut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (dua, kiri) ketika lawatan beliau di Ibu Pejabat SPRM November tahun lalu. - Foto Bernama

Bayangkan, masih ada segelintir masyarakat yang tidak tahu, tidak sedar atau tidak faham akibat buruk daripada perbuatan memberi dan menerima rasuah.

Malah ada pula yang memberi harapan terlalu tinggi kepada SPRM dan jika ada kes, mereka mahu ia diselesaikan dengan segera, sedangkan mereka harus faham tidak mudah untuk melakukan siasatan kes rasuah.

SPRM menyiasat berdasarkan fakta dan kebenaran dan tidak boleh bergantung pada persepsi semata-mata.

Sebab itulah SPRM hari ini sedaya upaya mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada orang ramai bagi memerangi rasuah.

SPRM perlukan kuasa rakyat, rakyat perlu menolak rasuah sekeras-kerasnya, tanamkan perasaan sayangkan keluarga dan negara. SPRM berharap masyarakat akan menjadi mata dan telinga SPRM serta terus menyokong dan doakan SPRM agar terus istiqomah dalam mempertahankan kebebasannya.

Tanpa sokongan rakyat, usaha memerangi rasuah tidak akan berkesan. SPRM menerima secara terbuka sebarang teguran atau kritikan membina namun janganlah menghamburkan kritikan, cacian dan cemuhan tanpa fakta. Mereka sepatutnya membenci dan marah kepada pelaku rasuah dan bukannya agensi yang mencegah rasuah.

InsyaAllah, saya bertekad tidak akan sesekali membenarkan sejarah hitam lama berulang kembali.

______________________________________________________________________________________

* Datuk Seri Mohd Shukri Abdull adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI