Skip to main content

Malaysia

SFC tingkat pematuhan hadapi cuaca panas, jerebu

KUCHING, 1 Sept - Pemandangan matahari yang suram akibat jerebu dirakam berhampiran Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. Enam kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap berbahaya setakat 8 pagi ini iaitu Serian (408), Kuching (407), Samarahan (372), Sri Aman (361), Sarikei (333) dan Sibu (309). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut portal APIMS Jabatan Alam Sekitar, setakat 7 pagi ini kualiti udara di kawasan Serian merekodkan kadar Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya iaitu 495. Selain itu, tiga kawasan merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (289), Samarahan (265) dan Sri Aman (250). - Gambar Bernama
Advertisement

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) meningkatkan pemantauan di kawasan hutan berisiko dalam menghadapi cuaca panas, kering serta jerebu kini yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, pihaknya sentiasa mengambil serius situasi tersebut kerana ia bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran hutan malah boleh memberi tekanan kepada ekosistem serta hidupan liar.

“Pemantauan ini kita lakukan khususnya di kawasan hutan gambut dan kawasan berhampiran dengan aktiviti manusia. Kita laksanakan rondaan di lapangan serta menggunakan maklumat “hotspot” serta teknologi bagi membantu mengesan tanda-tanda awal kebakaran.

“Secara fokus dan berdasarkan insiden lalu, kita lebih menumpukan pemantauan kepada Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) yang pernah terjejas akibat kebakaran hutan,” katanya kepada Bernama.

Image
Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Abang Arabi Abang Aimran -- SFC
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) meningkatkan pemantauan di kawasan hutan berisiko dalam menghadapi cuaca panas, kering serta jerebu kini yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan, kata Pengurus Besarny, Abang Arabi Abang Aimran. - Gambar Bernama

Antara kawasan menjadi perhatian ialah Santuari Hidupan Liar Sibuti, Rizab Semula Jadi Piasau, Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah, Taman Negara Mulu di Miri selain Santuari Hidupan Liar Samunsam, Taman Negara Bako, Taman Negara Kuching Wetland di Kuching serta Rizab Semula Jadi Bukit Lima di Sibu.

Abang Arabi berkata, SFC juga bersedia menangani kemungkinan hidupan liar mengalami kecederaan akibat kebakaran hutan atau terjejas kesihatan akibat pendedahan kepada asap dan jerebu melampau.

Beliau berkata, persediaan itu merangkumi penyediaan peralatan kecemasan serta tenaga kerja terlatih, termasuk pegawai veterinar SFC bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kecemasan.

“Kolaborasi dengan pusat veterinar swasta dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga adalah strategi kami dalam menangani isu melibatkan kesihatan hidupan liar,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan jangka panjang, Abang Arabi berkata, perubahan iklim yang menyebabkan keadaan panas dan kering memerlukan SFC meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara lebih sistematik.

“Dalam hal ini, kita sentiasa menilai keadaan semasa dan mengemas kini garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Matlamat kita bukan hanya bertindak apabila kebakaran berlaku tetapi yang lebih penting ialah mencegah, mengesan lebih awal dan melindungi hutan serta hidupan liar sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Situasi jerebu rentas sempadan yang berlaku di beberapa kawasan di Sarawak sejak awal Ogos.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 7 pagi ini kualiti udara di kawasan Serian merekodkan kadar Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya iaitu 495.

Selain itu, tiga kawasan merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (289), Samarahan (265) dan Sri Aman (250).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement