Datuk Shabudin Yahya hari ini menafikan bahawa beliau telah mencadangkan supaya perogol dipaksa berkahwin dengan mangsa dan dakwaan jenayah rogol gugur secara automatik selepas perkahwinan itu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa rogol sama ada atas persetujuan bersama atau sebalikya adalah satu perbuatan jenayah.

Susulan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 itu, katanya, laporan media telah memberi persepsi bahawa beliau boleh menerima perogol dibenarkan berkahwin mangsa bawah umur bagi mengelak hukuman.

"Laporan ini adalah tidak tepat dan mengelirukan...lebih mirip kepada berita palsu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa semasa sesi perbahasan itu, seorang Ahli Parlimen mencadangkan satu pindaan kepada rang undang-undang itu untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Bagaimanapun, katanya, beliau memberi pendapat bahawa dalam keadaan tertentu, fleksibiliti semasa perlu kekal.

Secara umumnya, katanya, umur perkahwinan mengikut undang-undang di Malaysia adalah 21 tahun tanpa persetujuan ibu bapa dan 18 tahun dengan persetujuan ibu bapa manakala umur persetujuan mengikut undang-undang ialah 16 tahun.

Bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu, mereka yang di bawah umur boleh berkahwin jika diberi lesen perkahwinan khas oleh ketua kerajaan negeri atau dibenarkan oleh hakim mahkamah, katanya.

Berdasarkan pengalamannya sebagai bekas hakim, katanya, beliau berpendapat bahawa fleksibiliti dan budi bicara hakim mesti dikekalkan untuk membenarkan mahkamah memutuskan kes rogol berkanun melibatkan pasangan yang ada ikatan hubungan dan diadilii secara berbeza dengan kos rogol secara paksa.

"Adalah dikesali bahawa laporan media yang tidak tepat itu telah mengelirukan orang ramai dan menimbulkan kekecohan dan kecaman yang tidak sepatutnya," katanya.

Katanya, Malaysia mengutuk keras jenayah seksual dan tidak pernah teragak-agak untuk mendakwa dan mengenakan hukuman sepenuhnya terhadap pelaku seks mengikut undang-undang negara. -- BERNAMA